Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail 


SEMUA kakitangan Yayasan Pahang (YP) pasti teruja dan gembira menyambut lebaran tahun ini kerana bakal terima bonus sebulan gaji.

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YP, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian sempena Aidilfitri itu sebagai tanda penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangannya yang cemerlang menguruskan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Besar berpuas hati dengan pengurusan kewangan yang dijalankan dengan baik ditambah pula dengan prestasi kewangan kerajaan negeri yang juga diuruskan secara berhemah.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan negeri Pahang

Sebahagian daripada penerima sumbangan yang hadir pada majlis berkenaan


"Kalau kita tengok kepada peningkatan pendapatan dicatatkan YP, tahun lalu (2020) kita memperoleh pendapatan RM169 juta berbanding RM128 juta iaitu peningkatan melebihi RM40 juta berbanding 2018.

"Jadi, bila kita ada lebihan yang banyak kita boleh agihkan kepada semua warga kerja YP," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Besar di Kompleks Yayasan Pahang, Kuantan pada 22 April 2021.


Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan berjumlah RM2,000 kepada wakil NASOM pada majlis berkenaan.


Pada majlis sama, Wan Rosdy menyampaikan sumbangan RM2,000 kepada sembilan persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Pahang; Persatuan Ibu Bapa Anak Istimewa Pahang (PIANIS), Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Cawangan Pahang dan Persatuan Kanser Kanak-kanak (PERSONA).

Wan Rosdy juga menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada anak jati Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang layak melanjutkan pengajian ke Kolej Harvard di Amerika Syarikat, Ogos 2021 ini.


Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada ibu Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi, Rozita Abdul Hamid (dua dari kanan)


Sumbangan diterima oleh ibu Muhammad Hamdi, Rozita Abdul Hamid, 47, sebagai wakil kerana dia kini berada di Kolej Tuanku Ja'afar, Mantin, Negeri Sembilan membuat persediaan menduduki peperiksaan A-Level. 

Turut menerima sumbangan daripada Kerajaan negeri ialah Pasukan Bahas Guru Pahang yang memenangi Pertandingan Bahas Guru Peringkat Kebangsaan baru-baru ini. - KitaReporters

0
0
0
0
0

Copy Link: