Bila ABAH Bersuara| Senang lenang hidup percuma! Ingkar bayar sewa, bil utiliti PA, PPR! Bertindaklah!
Published byKETIKA ribuan warga kota menunggu peluang untuk menyewa rumah Perumahan Awam (PA) atau Program Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), ramai penyewa sedia ada hidup senang lenang tanpa membayar sewa dan bil utiliti.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil antara PPR di Kuala Lumpur.
Memetik
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sehingga
kini tunggakan sewa mencecah RM14 juta. Bil utiliti yang tidak dibayar pula
berjumlah RM12 juta. maka, jumlah keseluruhan tunggakan ialah lebih RM26 juta.
Sewa dan
bil tertunggak ini direkod merangkumi 51 projek PA dan PPR di seluruh ibu
negara. Jelas ia menyerlahkan sikap tidak bertanggungjawab penyewa. Setelah
kemudahan diberi, mereka culas tunaikan tanggung jawab.
Sikap ini sangat buruk memandangkan sewa PA da PPR sangat munasabah, hanya sekitar RM124 sebulan. Itu pun tidak mahu bayar. Jumlah terkumpul yang begitu banyak menunjukkan tunggakan yang bertimbun lama, mungkin bertahun-tahun.
Gelagat penyewa ini sangat tidak adil kepada orang lain yang menunggu untuk menyewa PA atau PPR. Kerana permintaan yang lebih tinggi berbanding dengan bekalan rumah, tidak semua berpeluang menyewa.
Bulan demi
bulan, tahun demi tahun, barisan yang menunggu semakin panjang. Saingan menjadi
semakin sengit. Memang bertuah jika dalam situasi seperti ini ada yang memperoleh
rezeki dapat menyewa.
Sementara pihak DBKL berusaha memenuhi permintaan, ia juga menghadapi kekangan menyediakan lebih banyak unit. Dalam keadaan tanah yang terhad di ibu kota, dan guna tanah yang kompetetif, tidak mudah bagi DBKL membina unit baharu.
Lagi pun pembinaan unit baharu mengambil masa. Dalam tempoh itu permintaan untuk PA dan PPR terus meningkat. Unit baharu masih belum dapat menampung keperluan orang ramai yang meningkat sepanjang masa.
Bagi warga kota, atau orang luar yang datang mencari rezeki, PA dan PPR adalah harapan kelompok yang berpendapatan rendah, terutama yang berkeluarga besar. Dengan pendapatan sederhana memenuhi keperluan keluarga, PA dan PPR adalah pilihan terbaik kerana sewa rendah.
Tentu sukar bagi mereka menyewa rumah di taman-taman perumahan kerana sewa tinggi. Ia akan ‘mencubit’ sebahagian besar pendapatan bulanan mereka, sedangkan bukan sewa sahaja harus difikir tetapi juga keperluan perbelanjaan keluarga.

Tunggakan sewa mencecah RM14 juta, manakala bil utiliti yang tidak dibayar pula berjumlah RM12 juta, kata Hannah Yeoh (kiri sekali). - Kredit foto: Berita Harian
Kerana itu, sikap enggan membayar sewa dan bil utiliti dalam kalangan penyewa sedia ada mesti dipandang serius. Tindakan tegas mesti diambil.
Pihak DBKL tidak boleh berlembut kepada mereka yang seperti mempermainkan pihak berkuasa dalam isu menjelaskan bayaran tertunggak.
Ini kerana
tentunya pihak DBKL telah memberi peringatan tetapi tidak dipedulikan. Akhirnya
jumlah yang tertunggak terus bertimbun. Jumlah ini akan terus meningkat jika
sikap berlembut kepada penyewa culas terus diamalkan.
Pihak DBKL difahamkan sentiasa membuka pintu rundingan. Yang kurang mampu boleh membayar secara ansuran. Sikap toleransi DBKl ini nampaknya tidak dihargai penyewa-penyewa.
Justeru DBKL mesti bertindak tegas, sekali pun tidak popular, untuk memastikan tunggakan dapat dikutip. Penyewa yang culas, terutama yang degil tegar tidak pedulikan peringatan, tidah harus dilindungi.
Keluarkan mereka daripada unit yang diduduki. Mana boleh mahu bersenang lenang hidup percuma sementara DBKL menaggung kesannya.
Perbuatan mereka juga mencemar nama baik penyewa yang patuh membayar sewa dan bil.
Seharusnya mereka sedar wang sewa itulah yang digunakan oleh DBKL untuk kerja penyenggaraan dan membaik pulih kerosakan atau menyediakan kemudahan seperti lif. Wang sewa itu sebenarnya dikembalikan kepada penyewa dalam bentuk lain.

Perumahan Awam (PA) Sri Johor, antara PA milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Nanti jika disuruh keluar oleh DBKL, jangan salahkan DBKL. Salahkan diri sendiri yang sombong tidak berdisiplin membayar sewa dan tidak peduli peringatan daripada DBKL.
Beri unit
yang dikosongkan kepada penyewa lain yang masih ramai menunggu sekian lama dan
benar-benar mahu menyewa PA ata PPR.
Pihak DBKL
mesti serius bertindak mulai saat ini. Banyaknya tunggakan mencerminkan sikap
lembut berlebihan kepada penyewa ingkar. Ini boleh memberi isyarat salah serta
persepsi kurang baik dalam kalangan orang ramai.
Oleh itu
bertindaklah, walau pun pahit, agar menjadi pengajaran kepada penyewa PA dan
PPR masa kini dan akan datang. - KitaReporters
