Kekal hidup di kampung atau ikut anak ke bandar? Ibu bapa lebih selesa tinggal di kampung? Kenapa?
Published byKesibukan anak-anak zaman kini yang tinggal di bandar asbab mencari rezeki di perantauan menyebabkan masa diluangkan untuk kedua-dua ibu bapa menjadi semakin berkurangan.

Lantas bagi memudahkan serta menjalankan tanggungjawab anak dengan lebih baik, mereka dengan hati yang terbuka mengajak kedua-dua ibu bapa untuk tinggal bersama di bandar malah ada yang lebih nekad untuk meminta kedua-dua ibu bapa menjual rumah di kampung dan kekal tinggal di bandar bersama mereka.
Keadaan ini menjadikan kedua-dua bapa berada di dalam dilema di mana warga emas ini lebih tenang dan senang tinggal di rumah mereka sendiri di kampung dengan menjaga tanaman dan haiwan ternakan yang menuntut penjagaan yang rapi.
Tambahan lagi jika berpindah ke bandar, aktiviti bercucuk tanam dan membela haiwan ternakan menjadi semakin mustahil apabila kebanyakan rumah yang didiami anak-anak adalah rumah kondominium dan rumah pangsa yang tinggi melangit.
Semakin kita meniti usia memasuki senja, apa yang ibu bapa
mahukan adalah ketenangan dan tidak mahu menyusahkan anak-anak terutama sekali
anak-anak yang sudah berumah tangga dan mempunyai anak yang masih kecil.
Tanggungjawab sebagai anak sudah cukup berat untuk membina keluarga sendiri dan jika ditambah dengan kehadiran ibu bapa yang tinggal bersama pasti sedikit sebanyak akan menimbulkan konflik dalam keluarga.
Ibarat kapal yang mempunyai dua nakhoda, pasti sukar untuk membuat keputusan harian yang mungkin melibatkan kewangan, perubatan dan sebagainya.

Bagi penulis sendiri, penulis lebih selesa untuk melawat
anak-anak ke rumah mereka di bandar sekurang-kurangnya sebulan sekali. Melepas
rindu pada cucu-cucu dan sekali-sekala dapat melihat pembangunan pesat kotar raya.
Tukar-tukar angin orang kata.
Tambahan lagi, anak-anak pasti akan pulang ke kampung sebulan sekali melawat kami di kampung.
Kekangan aktiviti ketika berada di bandar menjadikan penulis sendiri tidak senang duduk di bandar selepas tiga hari di rumah anak-anak.
Tinggal di kampung dan di rumah sendiri seperti terapi diri dan kita bebas untuk membuat sebarang keputusan di rumah sendiri.
Lebih-lebih lagi kita mempunyai kelompok jiran serta rakan-rakan orang lama yang ramai di kampung untuk diajak mengopi dan berbual jika berkelapangan. Kita juga dapat ke masjid berjemaah bersama kariah setempat.
Pasti penulis mengajak isteri pulang ke kampung kerana bimbang pokok-pokok bunga kekurangan air, kucing di rumah kekurangan makanan serta bimbang juga keselamatan rumah yang di tinggal lama tidak berpenghuni.
Namun penulis sangat berbangga dengan anak-anak yang berhati murni mengajak kedua-dua ibu bapa tinggal bersama di bandar untuk memastikan keselamatan orang tua dan memudahkan anak-anak membawa kedua-dua ibu bagi rawatan susulan jika mereka tidak sihat.

Jadi pada pandangan penulis dalam situasi ini, kedua-dua ibu bapa haruslah akur mengikut kehendak anak lebih-lebih lagi jika ia melibatkan masalah penjagaan kesihatan mereka.
Dalam pada masa yang sama, anak-anak juga haruslah faham
jiwa kedua-dua orang tua yang lebih selesa dan tenang dengan suasana kampung kerana
suasana bandar yang terlalu sibuk dan laju tersebut boleh membuatkan tekanan
perasaan kepada orang tua.
Kadangkala kejutan budaya ini memberikan kesan mental dan emosi kepada mereka yang sudah berusia. Suasana baharu, cara hidup yang berbeza, cucu-cucu yang dibesarkan dalam suasana yang lebih berteknologi kini memberi impak kepada percanggahan cara didikan dengan 20 tahun yang lalu.
Bak kata pepatah, ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Jadi kedua-dua belah pihak ibu bapa dan anak haruslah memahami perasaan dan keperluan semasa jika mahu ibu bapa berpindah ke bandar atau terus tinggal di kampung menghabiskan sisa-sisa usia yang masih ada. - KitaReporters
