MASJID Jamek Sultan Abdul Samad antara mercu tanda terkenal dan tertua di ibu kota Kuala Lumpur. Ia tumpuan warga kota beribadat. Setiap hari Jumaat, jumlah jemaah berganda ramainya menunaikan solat Jumaat hingga melimpah ke luar masjid.


 

Sultan Alauddin Sulaiman Shah meletakkan batu asas pembinaan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad pada 23 Mac 1908, dan merasmikan pembukaannya pada 23 Disember 1909.


Sultan Abdul Samad... Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, sempena nama baginda yang juga Sultan Selangor keempat.


Masjid ini juga sering dikunjungi pelawat luar yang datang untuk melihat sendiri keunikan masjid tersebut serta mengambil peluang bersolat.

Kedudukan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak, berhampiran Dataran Merdeka dan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, iaitu stesen untuk laluan LRT Laluan Seri Petaling dan LRT Kelana Jaya.


Gambar fail Masjid Jamek Sultan Abdul Samad yang berdiri pada pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak.


Masjid Jamek berdiri kukuh selepas 117 tahun sebagai lambang syiar Islam dan antara mercu tanda terkenal dan tertua di Kuala Lumpur.


Masjid Jamek ini kini sudah berusia 117 tahun. Kedudukannya di tengah-tengah ibu negara sangat istimewa kerana terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak, dahulu dikenali juga sebagai Sungai Lumpur.

Pada pertemuan dua sungai inilah bermula pertumbuhan Kuala Lumpur pada kurun ke-19. 

Nama ‘Kuala Lumpur’ adalah sempena pertemuan dua sungai tersebut atau ‘kuala’, iaitu titik di mana dua sungai bertemu, atau tempat di mana sungai mengalir ke laut.

Kawasan pertemuan dua sungai tersebut ketika itu sangat rendah, berpaya dan sering diliputi lumpur tebal, terutama apabila banjir.

Kuala Lumpur ketika itu berkembang pesat sebagai pusat perdagangan bijih timah. Kegiatan melombong dijalankan di kawasan tersebut serta kawasan sekitar seperti Ampang.

Keadaan ini menyebabkan banyak sisa tanah dan selut mengalir ke sungai, menjadikannya sangat berlumpur. Maka terciptalah nama Kuala Lumpur. Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dibina pada titik pertemuan ini.


Ruang solat Masjid Jamek yang bersih dan kemas mewujudkan suasana selesa dan tenang dalam kalangan jemaah.


Tiga kubah Masjid Jamek bercirikan seni bina 'Moorish' kelihatan indah mewarnai pemandangan di ibu negara.


Sekalipun Masjid Jamek sudah lama terkenal, berapa ramai yang tahu sejarah pembinaan masjid yang sudah berusia lebih satu kurun itu?

Pembinaan bermula pada 23 Mac 1908 dengan peletakan batu asas yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Shah Raja Muda Musa (memerintah dari 17 Februari 1898 hingga 31 Mac 1938). Turut hadir ialah Residen British bagi Selangor, H.C. Belfield. 

Nama masjid adalah sempena nama nenda baginda Sultan Alauddin, iaitu Sultan Abdul Samad yang memerintah dari 6 Januari 1857 hingga 6 Februari 1898. Satu lagi bangunan ikonik sempena nama baginda ialah Bangunan Sultan Abdul Samad.

Arkitek reka bentuk Masjid Jamek ialah Arthur Benison Hubback, yang juga mereka bentuk Stesen Kereta Api Kuala Lumpur. Ketika itu beliau merupakan pembantu arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR).


Arthur Benison Hubback, arkitek Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.


Ciri binaan menerapkan gaya ‘Moorish’ atau ‘Indo-Saracenic’, menggabungkan seni bina Islam dari India Utara dan pengaruh kolonial. Dewan solat utama berukuran kira-kira 30.48 meter lebar, panjang 12.19 meter.

Reka bentuknya yang berciri seni Moghul menjadikan dewan solatnya berbentuk segi empat tepat dengan tiga kubah utama di atasnya. Kubah tengah adalah yang tertinggi, kira-kira 21.3 meter. Di sebelah dinding atasnya dikelilingi oleh tingkap cermin.  

Di bahagian hadapan ruang solat terdapat halaman berkeluasan kira-kira 17.07 meter panjang dan 30.79 meter lebar. Halaman ini asalnya terbuka tetapi kini berbumbung untuk menampung lebih ramai jemaah.

Di sini juga dibina kolah bagi kegunaan mengambil wuduk. Selain itu dua buah menara setinggi 25.30 meter dibina, dilengkapi dengan tangga berpusing untuk naik.

Masjid tersebut siap sepenuhnya pada 1909 dan dirasmikan oleh Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Disember 1909.

Kewujudan masjid tersebut memudahkan penduduk di penempatan orang Melayu, terutama di kawasan Jalan Jawa (kini Jalan Tun Perak), Jalan Melayu dan kakitangan kerajaan di Bangunan Sultan Abdul Samad beribadah.

Setelah 117 tahun berlalu, Masjid Jamek tetap berdiri kukuh sebagai tempat beribadah umat Islam, di samping sebagai warisan sejarah yang kerap dikunjungi pelawat. Ia tegak berdiri sebagai permata bersinar pada pertemuan dua sungai ‘berlumpur’.


Pada hari Jumaat Masjid Jamek Sultan Abdul Samad sentiasa dipenuhi jemaah sehingga melimpah ke luar dewan solat. Suasana seperti ini juga boleh disaksikan pada hari perayaan seperti hari raya.


Masjid Jamek boleh memuat sekitar 1,000 jemaah pada satu-satu masa. Namun dengan penggunaan ruang tambahan di kawasan sekitar, termasuk kawasan ‘River of Life’, kapasitinya meningkat lebih tinggi pada solat Jumaat atau hari raya.

Sesuai dengan usianya, dan bagi memastikan ia terus terpelihara, pada 1983 Masjid Jamek Sultan Abdul Samad diwartakan di bawah Akta Bendapurba 1976. Justeru ia tidak akan diganggu gugat, akan kekal berdiri mengharungi peredaran masa. - KitaReporters

9
8
0
7
0

Copy Link: