PERSATUAN Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) terus menjalankan kempen menyantuni bekas-bekas pemain kebangsaan yang banyak berjasa mengharumkan nama negara tetapi kini menghadapi kesempitan hidup terutama berkaitan kesihatan.

Selepas Syed Ahmad Abu Bakar, Allahyarham Ibrahim Din dan Azhar Sharif sejak beberapa tahun lalu, PBMM menganjurkan satu perlawanan amal persahabatan bagi mengenang jasa dan membantu Mohd. Zulkifli Mohd. Norbit pula pada 18 September 2021 lalu.


POSTER perlawanan amal persahabatan Veteran Nusantara PBMM dan Pilihan Bekas Pemain Kuala Lumpur. - Kredit foto: PBMM


ISKANDAR A. Samad (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan wang kepada Mohd. Noor Affendy Zulkifli sambil disaksikan Mohd. Firdaus Mohamed (jersi kuning) dan Ramlan Askolani di Stadium Mindef, Kuala Lumpur. - Kredit foto: PBMM  


Sayap kiri Selangor dan Malaysia dari 1967 hingga 1974 itu kini hanya terlantar di kediamannya di Ampang, Selangor kerana mengalami masalah jantung dan diserang angin ahmar.

Segala keperluan harian Zulkifli, 75, juga perlu sentiasa dibantu disediakan oleh keluarganya.

Menurut adiknya, Jamaluddin Norbit, 68, yang juga bekas pemain Malaysia dan Selangor, abangnya itu hanya mampu minum susu melalui penyedut.


ZULKIFLI Norbit (empat dari kiri) meraikan kejayaan Selangor menjuarai Piala Malaysia 1973. Kanan ialah adiknya, Allahyarham Mohd. Shah Norbit yang meninggal dunia 19 Oktober 2020. 


Zulkifli amat dikenali kerana pencapaian terbaiknya menjulang Piala Malaysia lima kali (1968, 1969, 1971, 1972 dan 1973) serta muncul naib juara Kejohanan Kelab Juara Asia 1967 di Bangkok bersama Selangor.

Selain itu, dia menganggotai skuad negara juara Pestabola Merdeka 1968 dan pemenang pingat gangsa Sukan SEAP Rangoon 1969 serta Singapura 1973.

Turut pernah menyaksikan aksi hebatnya ialah Piala Hari Kebangsaan Vietnam Selatan 1967 di Saigon dan Piala Raja Thailand 1968 di Bangkok manakala kejohanan tempatan lain termasuk Piala Burnley, Piala FAM mahupun Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong anjuran PBMM. 



Perlawanan amal di Stadium Mindef, Kuala Lumpur pada 18 September 2021 itu menyaksikan Pilihan Bekas Pemain Kuala Lumpur menewaskan Veteran Nusantara PBMM 4-1.

Veteran Nusantara PBMM diterajui Presiden PBMM, Mohd. Firdaus Mohamed yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Datuk Ramlan Askolani, bekas tonggak Kuala Lumpur yang menjuarai Piala Malaysia tiga kali dari 1987 hingga 1989, mengetuai pasukan lawan.


RAMLAN Askolani (dua dari kiri) bertukar cenderamata pasukan dengan Mohd. Firdaus Mohamed dan bekas pemain Pahang, Mohd. Zamri Mazleh (kanan). - Kredit foto: PBMM


ANTARA aksi hebat perlawanan amal antara Veteran Nusantara PBMM dengan Pilihan Bekas Pemain Kuala Lumpur di Stadium Mindef, 18 September 2021. - Kredit foto: PBMM


Turut beraksi ialah bekas bintang kebangsaan, Selangor dan Kuala Lumpur antaranya Nizaruddin Yusof dan Shahrin Majid serta bekas pemenang Kasut Emas Liga Perdana 2010, Zamri Hassan selain pemenang Piala Emas Raja-raja 1994, Zolkipli Samion.

Perlawanan amal ini juga dihadiri Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Selangor, Datuk Iskandar A. Samad yang kemudiannya menyerahkan sumbangan wang kepada anak Zulkifli, Mohd. Noor Affendy Mohd. Zulkifli.

Sebanyak RM3,000 turut berjaya dikutip sempena perlawanan amal itu. 


NOORUL Ariffin (dua dari kanan) menziarahi Zulkifli Norbit yang terlantar di katil. Di kiri ialah Mohd. Noor Affendy Zulkifli dan kanan, Awiah Osman, isteri Zulkifli. - Kredit foto: Yakeb 


Pada 12 September 2021 lalu, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) turut berkunjung ke rumah Zulkifli untuk menyerahkan peralatan sokongan katil khas penjagaan pesakit kepadanya. 

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed. - KitaReporters


KATIL khas pesakit sumbangan peralatan sokongan oleh Yakeb kepada Zulkifli Norbit. - Kredit foto: Yakeb 


ZULKIFLI Norbit (tengah) ketika menerima kunjungan pegawai Yakeb, Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) dan Aminuddin Mohd. Nasir, Mac 2020 lalu. - Kredit foto: Yakeb 

14
11
0
13
0

Copy Link: