Video| 9 Tahun Sunyi! Raya Apartmen Seri Seroja kali ini paling meriah! Kebangkitan satu komuniti!
Published byMAJLIS Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Apartmen Seri Seroja, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor mencatat kehadiran membanggakan walaupun diadakan pada penghujung Syawal, sekali gus membuktikan semangat kejiranan penduduk terus utuh.
Program yang berlangsung pada 18 April 2026 di pekarangan Blok C itu menjadi platform penting menyatukan semula penduduk selepas sekian lama tiada aktiviti bersama.

Pengerusi Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) Apartmen Seri Seroja, Nor Hafizah Taslim bersyukur melihat penduduk hadir beramai-ramai memeriahkan sambutan tersebut, sekali gus menggambarkan keinginan mereka untuk kembali menjalin hubungan yang lebih erat seperti sebelum ini.
“Alhamdulillah, walaupun kita buat pada penghujung raya, kehadiran sangat memuaskan. Saya harap semangat ini dapat diteruskan supaya penduduk bersatu dan bekerjasama.
"Sebelum ini, KRT di kawasan itu seakan tidak aktif sejak beberapa tahun lalu, terutama ketika pengurusan apartmen dipegang ejen luar.
"Situasi itu menyebabkan hubungan antara penduduk menjadi renggang kerana masing-masing lebih banyak menghabiskan masa di rumah tanpa interaksi," katanya.

Nor Hafizah Taslim
Namun, katanya suasana berbeza dapat dilihat pada sambutan Aidilfitri kali ini apabila penduduk mengambil peluang untuk berkenalan dan mengeratkan silaturahim.
"Majlis hari raya itu juga menghidupkan semula tradisi rewang dan gotong-royong yang sudah lama tidak diamalkan di kawasan berkenaan.
“Semua aktiviti seperti memasak, menyediakan khemah dan urusan lain dilakukan secara bersama. Kali terakhir kita buat program seperti ini sekitar 2017,” katanya.
Menurutnya, selepas hampir sembilan tahun tanpa aktiviti besar, penduduk begitu teruja apabila KRT memaklumkan mengenai penganjuran majlis tersebut.

Ada penduduk lebih selesa menikmati makanan sambil bersila dan makan bersama rakan-rakan, terasa seperti di rumah sendiri.

Penduduk pelbagai kaum hadir membuktikan ukhuwah dalam kalangan penduduk Apartment Seri Seroja memang harmoni.
"Ramai yang tampil secara sukarela untuk membantu serta menyumbang wang ringgit, makanan dan barangan lain demi memastikan program itu berjalan lancar.
"Saya menganggap penganjuran sambutan itu sebagai satu sejarah baharu buat Apartment Seri Seroja kerana berjaya ‘mengeluarkan’ penduduk daripada kepompong lama kepada semangat baharu lebih segar.
"Majlis itu turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertunjukan bunga api, cabutan bertuah dan hidangan kambing golek hasil tajaan pihak tertentu," katanya.
Selain itu, KRT turut menyumbang duit raya kepada kanak-kanak sekolah rendah dan menengah bagi menambah keceriaan mereka.
“Walaupun jumlahnya tidak besar, tetapi ia cukup menggembirakan anak-anak. Sebelum ini ketika di bawah pengurusan ejen, penduduk lebih bersikap individualistik dan kurang berinteraksi antara satu sama lain.
"Keadaan itu menyebabkan "roh" kejiranan menjadi hambar tanpa aktiviti yang dapat menyatukan komuniti. Ejen hanya fokus kepada pengurusan bangunan dan kutipan penyelenggaraan, tetapi tiada program komuniti untuk penduduk,” katanya.

Langit di Apartment Seri Seroja dilimpahi cahaya bunga api berwarna warni

Permainan bunga api memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Apartment Seri Seroja, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.
Beliau berkata, selepas tahun 2017, KRT juga tidak lagi aktif walaupun peranannya penting dalam aspek keselamatan dan perpaduan.
"Perubahan mula berlaku selepas penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) yang diterajui sendiri penduduk pada 2026.
"Melalui JMB baharu itu, pelbagai perbincangan dapat dilakukan termasuk cadangan menubuhkan semula KRT. Apabila kita urus sendiri, kos lebih jimat dan banyak perkara boleh dilakukan secara gotong-royong,” katanya.

Penduduk pelbagai peringkat umur hadir memeriahkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Apartment Seri Seroja, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Walaupun sambutan Aidilfitri diadakan di penghujung Syawal, kehadiran penduduk sangat memuaskan.
Beliau berkata, kesedaran penduduk terhadap tanggungjawab menjaga kebersihan dan persekitaran juga semakin meningkat.
"Aduan berkaitan kebersihan kini semakin berkurang kerana penduduk sendiri mengambil inisiatif menyelesaikan masalah kecil. Mereka lebih berani menegur jika ada yang membuang sampah merata-rata kerana tidak mahu kawasan ini kotor.
"Kerjasama erat antara penduduk dan JMB menjadi kunci kepada perubahan positif yang berlaku di Apartment Seri Seroja ketika ini," katanya.

Deva Genga merasmikan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 di Apartment Seri Seroja, Bukit Beruntung, Rawang, Selangor.

Deva Genga menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada seorang penduduk.
Sementara itu, Pengerusi NGO Membantu Yang Memerlukan (MM), Dato Deva Genga, gembira dengan perkembangan positif di Apartment Seri Seroja dan berharap selepas ini JMB boleh memberi fokus lebih besar kepada aspek pengurusan bangunan, kebersihan serta keceriaan landskap.
"Usaha itu penting bagi mewujudkan persekitaran yang selesa dan memberi semangat kepada penghuni. Saya yakin KRT dan JMB mampu memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan, ukhwah serta keselamatan kejiranan.
"Saya juga berharap penduduk memberi kerjasama dengan menyalurkan aduan atau cadangan terus kepada JMB. Saya yakin mereka sentiasa bersedia mendengar suara penduduk dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya mengenali Hafizah dan yakin dengan usahanya bagi menjadikan kediaman ini lebih baik, justeru penduduk perlu berganding bahu bersama kerana JMB tidak boleh bergerak sendiri tanpa sokongan penghuni,” katanya ketika merasmikan Majlis Hari Raya Aidilfitri Apartment Seri Seroja, Bukit Beruntung, Selangor. - KitaReporters

Menu kambing golek sentiasa mendapat sambutan hadirin di mana-mana pun majlis Aidilfitri termasuk di Apartment Seri Seroja.
