Sepanjang Jalan Kenangan| Apa keputusan SPM anda? Sekadar cukup makan? Gagal? Dunia belum kiamat!
Published by
KETIKA keputusan peperiksaan Siji Pelajaran Malaysia dan Malaysian Certificate Of Education (MCE) dikeluarkan pada 1980, penulis berada di Johor Bahru, Johor, bekerja di kilang pengeluar bateri Eveready di Tampoi.

Tatkala ramai kawan ke sekolah seawal pagi untuk melihat keputusan peperiksaan masing-masing, penulis sedikitpun tidak teruja untuk mengetahui.
Malah, ketika mahu merantau ke Johor selepas tamat peperiksaan MCE, penulis sempat berpesan kepada ayah supaya mengambil keputusan bagi pihak penulis bila ia keluar kelak.
Ketidakterujaan untuk mengambil keputusan peperiksaan itu kerana penulis sudah dapat meneka apakah keputusan yang bakal diperolehi.
Sejak dari darjah satu hingga tingkatan lima, penulis bukanlah seorang murid yang cemerlang, tidak pernah naik pentas untuk menerima hadiah kecemerlangan.
Penulis boleh dikategorikan murid yang sederhana, tidak pandai tapi tidak terlalu bodoh. Kemampuan penulis untuk melanjutkan pelajaran hingga tingkatan lima membuktikan hakikat itu.
Ini kerana pada zaman penulis, murid yang gagal peperiksaan tingkatan tiga (Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/ Lower Certificate Of Education (LCE) tidak layak melanjutkan pelajaran ke tingkatan empat dan seterusnya.

PENULIS merantau ke Johor Bahru ketika keputusan SPM dikeluarkan.
Mereka yang gagal perlu mengulang ambil peperiksaan SRP atau LCE jika mahu naik ke tingkatan empat.
Ramai kawan penulis yang gagal enggan mengulangi peperiksaan sebaliknya mengambil keputusan mencari pekerjaan sama ada menyertai Angkatan Tentera Malaysia, bekerja kilang atau menjadi penganggur terhormat.
Ramai juga kawan perempuan yang gagal, sekadar menunggul STP (sijil tunggu peminangan) dan berkahwin pada usia muda.
Ketika itu kesedaran ibu bapa terutama di luar bandar amat rendah. Mereka tidak memandang pendidikan itu sebagai sesuatu yang penting. Bagi mereka, bila anak dah kahwin, lepaslah tanggungjawab mereka.
Sebagaimana penulis jangka, keputusan peperiksaan MCE penulis sekadar ‘cukup makan’. Penulis mendapat F9 (gagal) dalam kertas Metamatik dan Sains, dua mata pelajaran yang tidak digemari. Subjek lain pun tidak terlalu cemerlang.

ZAMAN persekolahan penulis.
Penulis sedar, dengan sijil MCE yang dimiliki, ia tidak melayakkan penulis untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Ketika itu, universiti tidak sebanyak sekarang, jauh sekali pusat pengajian tinggi swasta yang kini tumbuh macam cendawan selepas hujan. Ketika itu tempat terhad dan hanya mereka yang benar-benar cemerlang layak memasukinya.
Anak-anak hari ini mempunyai banyak pilihan untuk menjejaki kaki ke universiti. Gagal ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), mereka boleh memohon masuk ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Pinjaman pembelajaran seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga disediakan.
Jadi, apa langkah penulis seterusnya?
Ketika itu baru penulis sedar, Allah telah menganugerahkan sesuatu yang Istimewa pada diri penulis iaitu bakat dalam bidang penulisan. Penulis mungkin seorang tidak cemerlang dalam pelajaran tapi mempunyai skil yang tidak dimiliki kawan-kawan yang lain.

PENULIS bersama Allahyarham Juwie (belakang sekali) dan Bahyah Mahmood (depan, kanan) pada awal kerjaya sebagai wartawan.
Memang sejak di sekolah menengah rendah, penulis sudah aktif menulis, sesuatu yang menyebabkan penulis terkenal dalam kalangan murid-murid Sekolah Menengah Sungai Bakap (sekarang Sekolah Menengah Syed Barakbah) dan Sekolah Menengah Methodist Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Sehingga sekarang, bila berjumpa kawan-kawan lama, mereka masih mengingati penulis sebagai murid yang aktif dalam bidang penulisan dan seni yang lain seperti berlakon, menyanyi, bersyair, berpantun dan bersajak.
Justeru, dengan keputusan MCE yang sekadar cukup makan, penulis tahu hanya bakat yang ada pada penulis boleh dijadikan ‘sijil’ untuk meneruskan kehidupan.
Ketika ramai juga kawan penulis yang menjejakkan kaki ke menara gading, penulis aktif menulis dengan menghasilkan berita, rencana, skrip drama radio dan semua bentuk penulisan.

PENULIS bersama Allahyarham Datuk Sudirman Arhad menemu bual pemain bola sepak, Fandi Ahmad.
Memang Allah dah tetapkan rezeki penulis dalam bidang penulisan yang akhirnya membuka laluan untuk penulis menjadi wartawan.
Penulis bermula bersama syarikat penerbitan kecil, Tinta Press, membina kerjaya bersama Kumpulan Karangkraf (yang kini merupakan gergasi media) hingga ditawarkan ke Berita Harian (yang suatu ketika dulu merupakan organisasi media terbesar) di Malaysia.
Ketika ditemu duga oleh ketiga-tiga syarikat media itu, tidak satu pun daripada mereka yang melihat sijil MCE penulis, sebaliknya mereka lebih berminat melihat keratan-keratan akhbar dan majalah yang menyiarkan tulisan penulis. Itulah ‘sijil’ penulis.

BERSAMA penasihat Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub.
Penulis berkongsi pengalaman yang tak seberapa ini untuk dijadikan panduan oleh anak-anak yang baru mendapat keputusan peperiksaan SPM pada Selasa, 31 Mac, 2026.
Pada yang cemerlang, tahniah, tapi kepada yang mendapat keputusan hanya ‘sekadar cukup makan’ atau gagal sekali pun, ingatlah dunia ini belum kiamat!
Keputusan tidak cemerlang atau gagal SPM bukan jalan mati untuk anda meneruskan kehidupan. Anda mungkin lemah dalam akademik tapi cuba gali potensi diri anda dan manfaatkan kelebihan yang Allah anugerahkan untuk anda sebagaimana Dia anugerahkan kepada penulis.
Apatah lagi pada zaman sekarang, kerajaan menyediakan pendidikan malah menggalakkan mereka (terutama yang gagal dalam akademik) meneruskan pelajaran dalam bidang pendidikan, latihan dan vokasional (TVET) yang mengutamakan kemahiran sebagai alternatif untuk masa depan.
Dalam satu sesi temu bual bersama sekumpulan pelajar universiti, seorang pelajar pernah bertanya adakah bakat saja sudah memadai tanpa pendidikan tinggi.
Penulis menjawab begini:
“Jika anda berbakat dan berpelajaran tinggi, ia lebih baik kerana anda akan mampu melangkah lebih jauh. Tapi, kalau anda sekadar ada bakat tanpa kelulusan, anda sekadar boleh terus hidup.
"Pada zaman sekarang di mana pencapaian akademik menjadi ukuran utama, bakat jatuh nombor dua.”

PADA usia 65 tahun, penulis masih aktif berkarya.
Itu hakikat yang perlu penulis telan.
Namun, penulis tetap bersyukur, dengan bakat yang dianugerahkan Allah, penulis masih mampu ‘bekerja’ mencari rezeki walaupun sudah melepasi umur persaraan.
Pada 17 Mac, 2026 lalu, penulis melangkah masuk ke usia 65 tahun dan belum bersara daripada menulis. -KitaReporters
