Pejuang pesakit dan penjaga pesakit! Pengalaman bekas pensyarah sebagai caregiver jadi asas MaRMa!
Published byMENJADI caregiver atau penjaga kepada pesakit yang diuji dengan masalah mental bukan tugasan mudah. Saban waktu, kena bertahan sabar dan kemarahan dengan tingkah laku mereka yang jauh bertentangan naluri manusia biasa.

Ada kalanya rasa terduduk dan ketika itu badan sudah "berserah kalah" tetapi demi kasih sayang dan semangat mahu lihat keadaan pulih, serenyah manapun cabaran, di situlah hati jadi sangat kental dan langkah tiba-tiba segagah pahlawan untuk melawan arus takdir.
Apa tidaknya, saban waktu mata sukar untuk lelap, minda sudah kepenatan atau lesu dan malam-malam yang sepatutnya menjadi waktu rehat, mereka bersengkang mata, masih "berjaga" merawat dan memastikan pesakit itu tidak memudaratkan diri.
Teruk lagi, ada masanya rasa risau tidak menentu, bimbang tingkah laku tiada kawalan, boleh mengancam nyawa.


Itulah setitik asam garam seorang caregiver yang juga bekas wartawan Hariyati Ariffin. Bekas pensyarah komunikasi massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang lebih 20 tahun diuji sebagai caregiver sehingga menjadikan pengalaman itu untuk menubuhkan badan kebajikan mencari jalan mengatasi masalah warga yang mengalami masalah mental daripada terus "diabaikan".
Beliau yang kini Pengerusi Malaysian Relief Mind Association (MaRMa), sebuah NGO yang memberi fokus kepada advokasi, sokongan komuniti dan pemerkasaan keluarga yang terkesan dengan isu kesihatan mental.
"Sekarang bila kita tengok video yang banyak membabitkan kes sampai meragut nyawa yang berpunca daripada anggota keluarga ini membuatkan kami sangat bimbang" katanya.

Bermula daripada itulah beliau memohon kerajaan merangka pelan pemulihan pesakit mental ini supaya dapat kembali diterima sebagai anggota masyarakat.
Biasanya kita sudah kecut perut dengar pertelingkahan keluarga. Bayangkan caregiver melalui suasana jerit pekik, lambakan pecahan pinggan mangkuk akibat dibaling, perabot rosak dan pintu pecah di sana sini serta ketukan pintu bilik bertubi-tubi, sehingga binggar macam hendak "pecah anak telinga".
Berbekalkan kecekalan dan ketabahan diri, Hariyati Ariffin bermula sebagai caregiver dengan menjaga anak yang ada masalah kesihatan mental sejak 20 tahun lalu.
Tidak cukup ujian dengan anak yang ada masalah mental, 9 tahun lalu beliau sekali lagi diuji dengan suami yang sakit strok dan terkini suaminya terlantar dan perlu diuruskan seratus peratus.
Dua kali diuji bertimpa itu bermakna impian untuk menghabiskan masa pencennya tertangguh.
"Macam mana hendak tinggalkan mereka (anak sulung dan suaminya) bukan mudah kerana perlu ada orang jaga. Malah hendak makan pun kena curi-curi masa. Tengah malam orang sedang lena, saya masih "berjaga" suami mahu tukar lampin pakai buang.

"Ada ketika gangguan apabila Kak Long mengamuk, kami terpaksa menahan sabar.
"Ini sekali gus menyekat pergerakan sebab itu juga saya tolak banyak undangan kenduri kendara, bertemu santai dengan bekas kawan sekerja. Apalagi kalau hendak bawa mereka bercuti.
"Saya reda saja kerana menjaga mereka adalah amanah dan sebab itulah saya berasa kerajaan boleh menyediakan pusat pemulihan untuk melatih pesakit mental ini berdikari," katanya yang anggap sudah jadi perkara biasa kehilangan pembantu rumah yang tidak tahan dengan amukan anak gadisnya jika terlepas jadual makan ubat.
Beliau yang kita nampak sebagai seorang caregiver yang biasa-biasa adalah merupakan seorang aktivis kesihatan mental dan tokoh masyarakat yang aktif memperjuangkan kesedaran serta sokongan terhadap pesakit mental dan caregiver di Malaysia.

Wanita cekal ini memiliki Ijazah Sarjana Muda Kewartawanan serta Ijazah Sarjana dalam Komunikasi Massa, dan pernah berkhidmat sebagai pensyarah Kanan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama 23 tahun.
Pengalaman akademik dan media yang luas membolehkan beliau menyampaikan isu-isu sosial, khususnya kesihatan mental, dengan pendekatan yang berpengaruh dan dekat dengan masyarakat.
Sebagai seorang caregiver kepada ahli keluarga yang menghidap skizofrenia serta suami yang merupakan pesakit strok, Hariyati membawa suara sebenar dari lapangan bukan sekadar teori, beserta pengalaman hidup yang penuh cabaran, ketabahan dan empati.
Beliau juga memastikan pencapaian dan sumbangan terbaiknya dalam memimpin MaRMa bagi memperluas kesedaran kesihatan mental pada peringkat komuniti.
Beliau aktif menulis artikel mengenai kesedaran mental di platform media dalam talian seperti portal talian dan Facebook bagi menggerakkan kesedaran awam.
"Kami mahu mengangkat suara caregiver sebagai kumpulan yang sering terpinggir dalam sistem kesihatan," katanya yang aktif memberi kesedaran dalam kolumnya "Diari Mama Masscom" dalam portal online KitaReporter dengan banyak mengetengahkan isu kesihatan mental dan perjuangan caregiver.

Selain itu, Hariyati juga terlibat dalam advokasi dasar berkaitan keperluan penambahbaikan sistem sokongan kesihatan mental negara.
Dalam isu yang sama, beliau juga menyuarakan tentang stigma masyarakat terhadap pesakit mental melalui penulisan dan program komuniti.
Beliau juga menggabungkan pengalaman peribadi dan kepakaran komunikasi dalam mendidik masyarakat secara lebih berkesan.

Hariyati percaya bahawa kesihatan mental bukan sekadar isu perubatan, tetapi isu kemanusiaan.
Pendekatan beliau menekankan kepentingan sokongan komuniti, empati masyarakat serta keperluan sistem yang lebih inklusif dan menyeluruh untuk pesakit dan caregiver.
“Bagi saya, menjaga pesakit mental bukan sekadar tanggungjawab keluarga ia adalah tanggungjawab masyarakat. Bagi saya selagi sistem tidak memahami realiti ini, perjuangan ini belum selesai.” katanya mengakhiri temu ramah dgn portal KitaReporters. - KitaReporters

