Dia mai lagi! Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya! Tradisi Ramadan! Gotong royong, kongsi rezeki!
Published byBUBUR lambuk mempunyai keistimewaan yang unik dan tersendiri dalam masyarakat Malaysia, khususnya apabila tiba Ramadan. Ia bukan sekadar makanan untuk berbuka puasa, tetapi simbol kebersamaan, tradisi perpaduan, semangat gotong royong dan budaya berkongsi rezeki.

Setiap kali Ramadan, bubur lambuk menjadi hidangan yang dinanti-nantikan. Dan, tradisi memasak dan mengagihkan bubur ini diamalkan di Malaysia, terutama di masjid dan surau sejak dahulu lagi.
Keistimewaan bubur lambuk juga terletak pada cara penyediaannya. Ia dimasak secara bergotong-royong sama ada ahli kariah masjid, komuniti atau badan bukan kerajaan.
Aktiviti ini merapatkan hubungan masyarakat tanpa mengira latar belakang, ada memotong bawang, mengacau bubur dalam kawah besar selain membungkus untuk diagihkan.

Mohd Sakeri Abdul Kadir (tiga dari kiri) menyerahkan beg berisi bubur lambuk kepada Ahmad Faisal Abdul Karim sebagai simbolik kerjasama PPj dan komuniti Putrajaya.
Bagi ramai rakyat Malaysia, bubur lambuk mengingatkan mereka kepada suasana Ramadan di kampung atau di masjid.
Ada sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya kerana rasanya yang enak apabila dimasak beramai-ramai. Ia menjadi sebahagian daripada memori indah bulan puasa.
Presiden PPj, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, aktiviti tahunan, Program Bubur Lambuk Komuniti Putrajaya 2026 datang lagi sempena Ramadan 1447H. Ia dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama komuniti setempat.
Beliau berkata, melalui program itu, ahli komuniti berganding bahu menyediakan bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada pelbagai lapisan masyarakat.


Keseronokan memasak bubur lambuk ialah ia dilakukan secara gotong royong dan beramai-ramai.
"Antara penerima agihan bubur lambuk termasuk komuniti sekitar Putrajaya, pengunjung bazar Ramadan, anggota keselamatan dan pertahanan Malaysia, hospital-hospital di Putrajaya serta beberapa lokasi lain di sekitar Putrajaya.
"Sebanyak 24 periuk bubur lambuk dimasak secara bergotong-royong membabitkan lebih 350 peserta terdiri daripada komuniti Putrajaya, PDRM, bomba, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Putrajaya (MAIWP) dan Persatuan Warga Emas Putrajaya (PERWEP).
"Komuniti lain yang terbabit ialah Pusat Aktiviti Warga Emas Putrajaya (PAWE), Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM), PutraKop, Pertubuhan Kebajikan Pembangunan Insan Malaysia, Kelab Usahawan Putrajaya (KUPPutra), persatuan-persatuan Sukan Putrajaya, Gerakan Belia Putrajaya dan Kelab Media Putrajaya," katanya.
Program di Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya mendapat tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) selain kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Putrajaya dan Stella Kasih Medical Centre Putrajaya.

Kemeriahan memasak bubur lambuk secara gotong royong mengingatkan suasana yang dilalui di kampung terutama di surau dan masjid.

Golongan tua dan muda bergabung demi memastikan program memasak bubur lambuk dapat dilaksanakan.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim dan Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Nik Shukri Nik Soh.
"Sejumlah 12,000 pek bubur lambuk disediakan untuk diagihkan kepada komuniti setempat, surau-surau sekitar Putrajaya serta anggota keselamatan dan barisan hadapan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APAM) Putrajaya, Hospital Putrajaya serta Institut Kanser Negara (IKN).
"Melalui penganjuran program seperti ini, Perbadanan Putrajaya berharap semangat kebersamaan dan perpaduan dalam kalangan komuniti Putrajaya dapat terus diperkukuh, di samping menyemarakkan penghayatan dan semangat Ramadan melalui aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.

Peserta-peserta membuat persediaan menyediakan bekas untuk mengisi bubur lambuk yang dimasak.

Bubur lambuk dimasukkan dalam bekas plastik mengikut sukatan yang sesuai.
Sementara itu, seorang cef yang terbabit dalam program itu, Haizaron Hairi, berkata bubur lambuk di Malaysia mempunyai rasa istimewa kerana menggunakan pelbagai bahan seperti beras, santan, daging, halia, serai, bawang dan rempah ratus.
Beliau berkata, setiap negeri atau komuniti mempunyai sedikit perbezaan dalam resipi, tetapi rasanya tetap kaya dan menyelerakan.
Aroma rempah yang dimasak dalam kawah besar sering menarik orang ramai yang lalu berhampiran masjid atau surau, tambahnya.

Haizaron Hairi (kiri) bersama isteri dan dua anaknya yang turut mengambil bahagian dalam Program Memasak Bubur Lambuk Putrajaya
"Saya sudah memasak bubur lambuk sejak lapan tahun lalu dan lebih gemar menggunakan ayam atau daging selain bahan-bahan lain seperti makaroni, saderi dan cendawan.
"Untuk masakan satu periuk, saya menggunakan 10 kilogram beras dan tiga kilogram daging, biasanya boleh mendapat kira-kira 350 bekas bubur lambuk.
"Tapi satu yang pasti, jika kita memasak secara ikhlas dan dilakukan beramai-ramai, rasanya pasti enak," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun bekerja di hotel-hotel ternama seperti Hotel Casuarina, Ipoh Perak.
Selain dia dan isteri, dua anak lelakinya turut mengambil bahagian memasak bubur lambuk sempena program tahunan itu. - KitaReporters

Sebahagian barisan penaja, peserta dan pengurusan PPj yang mengambil bahagian dalam Program Memasak Bubur Lambuk Putrajaya 2026.
