MOHD. Said Md. Hassan (kiri) menunjukkan gambar aksinya sebagai pemain Malaysia kepada Mohd. Zahari Hamid, anak kepada pencipta sepak raga jaring, Hamid Mydin. - Kredit foto: infotakraw.com


REGU mereka dianggap penyelamat maruah Malaysia selaku tuan rumah apatah lagi kerana negara ini yang memperkenalkan sepak raga jaring untuk dipertandingkan dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965.

Tidak mungkin mereka sanggup membiarkan kejuaraan sukan yang diasaskan orang Melayu malah diajar kepada Thailand lapan bulan sebelumnya, menjadi milik si anak murid! 

Mohd. Said Md. Hassan selaku tekong sambil diapit di kirinya, Mohd. Nor Osman dan Ahmad Mohd. Saman selaku apit kanan, membenam regu ketiga Thailand 15-3, 15-8 di Stadium Negara, Kuala Lumpur tanggal 21 Disember 1965.


 Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sepak takraw


MOHD. Said Md. Hassan (kiri) dan Ahmad Mohd. Saman mengapit Mohd. Nor Osman, regu penentu pingat emas Malaysia dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965. - Kredit foto: infotakraw.com   



Kemenangan mereka terhadap gandingan Chao Supipat, Sujin Guewsavarng dan Sangaroon Jamnudda dalam tempoh 25 minit itu meleraikan kedudukan 1-1 selepas regu kedua negara, Zainol Abidin Nor, Esman Bajuri dan Mohd. Kassim Abu Bakar dikejutkan pelawat, 18-16, 16-18, 7-15 selepas sejam setengah berentap.

Terdahulu regu Abdul Rahman Mohd. Noor, Husainy Hashim dan Amir Shaari menundukkan Thailand 15-5, 15-9 untuk membawa tuan rumah mendahului 1-0 hanya selepas bertarung selama 35 minit.  

Anggota lain skuad ini ialah Abdul Karim Shaari, Abdul Aziz Ahmad dan Ismail Ahmad manakala pengurus pasukan, Datuk Ahmad Razali Mohd. Ali (kemudiannya Tan Sri) yang juga bekas Menteri Besar Selangor dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). 


Potret wajah Mohd Said Md Hassan pada tahun 1965.  - Kredit foto: infotakraw.com 


Mohd. Said Md. Hassan. - Kredit foto: infotakraw.com 


Said, antara 12 pemain skuad negara bimbingan Razali Shukor itu, meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam, 25 Januari 2022.

Pemergian selama-lamanya tekong kelahiran Alor Setar, Kedah ini dimaklumkan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) dalam laman sosial Twitter rasminya.

“Dukacita dimaklumkan bekas atlet sepak takraw negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEAP 1965, Mohd. Said Md. Hassan telah kembali ke rahmatullah.

“Takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah,” lapor laman itu.


MOHD. Said Md. Hassan (depan, tiga dari kiri) bersama pasukan Kedah yang menentang Singapura dalam Kejohanan Sepak Raga Jaring Hari Malaysia di Kuala Lumpur pada September 1963. - Kredit foto: infotakraw.com


"Said menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 84 tahun akibat sakit prostat dan achalasia," kata anak saudaranya, Azlan Ibrahim. 

Beliau dilahirkan pada 22 Disember 1937 dan mempunyai sembilan adik beradik (dua lelaki dan tujuh perempuan) serta tidak berkahwin.

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Chengar, Anak Bukit, Alor Setar pada pukul 12 tengah hari, 26 Januari 2022.


PINGAT emas sepak takraw pertama dalam Sukan SEAP 1965 yang dimiliki 12 pemain Malaysia termasuk Mohd. Said Md. Hassan. - Kredit foto: infotakraw.com


Sehari sebelum perlawanan terakhir liga sepusingan menentang Thailand iaitu tanggal 20 Disember 1965, gandingan Said, Nor atau digelar Non Pekang dan Ahmad menewaskan regu ketiga Laos (Srisavath, Pyxa dan Chantay) 15-0, 15-1.

Skuad negara pada sebelah malam hari sama, mendapat kemenangan percuma apabila Singapura enggan turun bermain sebagai membantah keputusan pengadil garisan ketika perlawanan regu kedua mereka menentang Thailand.

Justeru pingat peraknya menjadi milik Thailand sedangkan Singapura yang jauh lebih berpengalaman sepak raga jaring, nekad melepaskan pingat gangsa kepada muka baharu, Laos.

Pemain-pemain skuad ini yang turut telah kembali ke rahmatullah ialah Kassim (3 Disember 2021), Nor, Ahmad, Rahman (2016) dan Husainy (Datuk) pada 2019 serta Ahmad Razali (2001). - KitaReporters


Skuad negara pemenang pingat emas sepak takraw Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 dengan Mohd. Said Md. Hassan (depan, kiri). - Kredit foto: infotakraw.com 

15
9
0
12
0

Copy Link: