KEBENARAN penganjuran aktiviti sosial dalam temnpoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 1 Julai 2020 lalu mengembirakan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana membolehkan mereka terbabit dalam kerja kebajikan dan amal untuk masyarakat. Selama hampir tiga bulan aktiviti sukarela ini tidak dapat dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. : KitaReporters


Sukarelawan membersih rumah (gambar di atas) dan memotong dahan pokok (gambar di bawah) yang menyemakkan pusat jagaan itu. 


Sehubungan dengan itu, empat NGO di Selangor, iaitu Kelab Sukarelawan Hospital Kajang, Taman Saujana Impian, Kasih dan Khalifah Nabawi Sdn Bhd bergabung menjalankan aktiviti gotong-royong di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor, baru-baru ini. 

Seramai kira-kira 50 sukarelawan termasuk dari pusat jagaan berkenaan melakukan kerja-kerja membersih persekitaran kawasan pusat jagaan itu, bilik penghuni, stor menyimpan barang, peralatan kemudahan  asas, saluran pengaliran air dan menghimpun barangan lama untuk dibuang.

Kassim Majuni 


Sukarelawan dari Hospital Kajang, Selangor, Kassim Majuni, berkata aktiviti itu merupakan kerja kebajikan dan amal yang pertama disertai pasukannya selepas kelonggaran diberikan kerajaan dalam PKPP.  

“Pasukan saya memang aktif dalam melakukan kerja-kerja sukarela ini, bagaimana pun pada masa PKP dulu, kami terpaksa menghentikan semua kegiatan berkenaan sebagai mematuhi arahan kerajaan dalam usaha menyekat penularan wabak Covid-19.

“Cuma beberapa ahli lelaki dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) mengunjungi wad bersalin apabila diminta untuk mengazankan bayi yang baru dilahirkan, manakala ahli wanita melawat wad pesakit wanita bagi memberi motivasi,” katanya.

Sofa yang rosak sedang diangkat sukarelawan untuk dibuang di tempat pembuangan sampah.


Sukarelawan daripada Taman Saujana Impian, Kajang, Mohd Nawi Awang, berkata pada masa PKP, sukarelawan dari taman itu hanya datang menghulur bantuan keperluan harian kepada pusat jagaan warga emas dan penduduk kampung yang menghadapi kesempitan hidup.

“Apabila Pusat Jagaan Mahmudah menguar-uarkan akan mengadakan aktiviti gotong-royong kami segera membuat keputusan untuk menyertainya sebagai kerja amal yang pertama dalam PKPP bagi meringankan bebanan pengurusan pusat ini,” katanya.

Mohd Nawi Awang mewakili Sukarelawan Taman Saujana Impian menerima sijil penghargaan daripada Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Mohiadin Bahado (kanan). 


Sukarelawan Kasih, Anas Leman pula melahirkan rasa bersyukur kerana dapat berbakti membantu warga emas di pusat berkenaan dengan menyertai gotong-royong itu selepas banyak aktiviti yang dirancangkan sebelum ini terpaksa ditangguh kerana PKP.

“Kami ahli Kasih sedia menghulurkan bantuan dan berkhidmat kepada organisasi  yang memerlukan tenaga sukarela sama ada untuk melakukan tugas di rumah anak yatim atau pusat jagaan orang-orang tua,” katanya.

Anas Leman 


Bagi Kamarul Anuar Md Karim yang mewakili sukarelawan Khalifah Nabawi Sdn Bhd, berkata aktiviti gotong-royong seperti itu akan memberi kesedaran kepada staf syarikat berkenaan untuk menghormati mereka yang malang.

“Ini juga dapat mendidik mereka untuk menjadi seorang anak yang bertanggungjawab bagi menjaga ibu bapa dan tidak sekali-kali menghantar mereka ke pusat jagaan kerana keuzuran atau sebagainya,” katanya.

Kamarul Anuar Md Karim


Bagi organisasi atau NGO  yang ingin mengadakan khidmat bakti dan kerja amal di pusat itu boleh menghubungi Penasihat pusat berkenaan, Azman Rasman menerusi nombor phone, 019-977 7419, Ruslan Saidin (019- 212 3757 dan Sazali Mohiden (019-368 8142). 

Sementara sumbangan derma boleh disalurkan ke Akaun CIMB Islamic -  8603160021 (Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia). - KitaReporters

Wakil sukarelawan bersama-sama sijil penghargaan yang disumbangkan oleh Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. 


Sebahagian daripada sukarelawan yang terbabit dengan gotong-royong di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih, Selangor. 

18
2
0
0
1

Copy Link: