Beberapa kes yang dilaporkan oleh media mengenai kematian yang tidak disedari jiran-jiran sekeliling mendedahkan satu realiti yang membimbangkan dalam masyarakat kita hari ini. 




Dalam sekurang-kurangnya tiga kes berasingan, mangsa ditemui meninggal dunia di kediaman sendiri hanya selepas beberapa hari, Malah ada yang hampir seminggu meninggal dunia, dan bau busuk mula dihidu. Masa tu barulah ada yang sedar mengenai kehilangan mereka.

Apa yang lebih mengejutkan, kesemua mangsa tinggal di kawasan perumahan yang bukan terpencil, sama ada di flat, rumah teres dan kawasan bandar yang padat. Namun begitu, ketiadaan mereka tidak segera disedari.

Siasatan terhadap corak kes ini menunjukkan beberapa persamaan ketara. 

Pertama, mangsa kebanyakannya hidup bersendirian dan mempunyai interaksi sosial yang minimum. Ada yang jarang keluar rumah, ada yang tidak bergaul dengan jiran, dan ada yang dilihat menjalani rutin harian secara senyap tanpa hubungan rapat dengan komuniti sekeliling.

Kedua, terdapat tanda-tanda awal kehilangan mereka yang sebenarnya boleh dikesan, seperti pintu rumah yang sentiasa tertutup, lampu tidak dibuka, atau kelibat yang tidak lagi kelihatan, namun tidak diambil serius oleh jiran tetangga.

Ketiga, dalam beberapa kes, jiran sendiri mengakui mereka menyedari perubahan tersebut, tetapi memilih untuk tidak bertindak kerana menganggap ia bukan urusan mereka. 

Di sinilah timbul persoalan besar -- adakah kita sudah terlalu terbiasa hidup dalam dunia sendiri sehingga kehilangan kepekaan terhadap keadaan sekeliling? 



Fenomena ini juga tidak boleh dipisahkan daripada isu kesihatan mental dan pengasingan sosial. 

Individu yang mengalami kemurungan, skizofrenia atau tekanan hidup cenderung untuk menarik diri daripada masyarakat. 

Tanpa sokongan komuniti, mereka berisiko untuk terus terpinggir. Hidup dan mati mereka tanpa disedari. Ini sangat menyedihkan.

Namun, meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada mangsa adalah tidak adil. Sebaliknya, ia mencerminkan kegagalan sistem sosial di peringkat komuniti.  

Dalam masyarakat yang sihat, perubahan kecil dalam kehidupan seseorang sepatutnya dapat dikesan oleh orang di sekeliling,  terutama jiran yang paling hampir secara fizikal.

Realitinya hari ini, ramai yang memilih untuk tidak ambil tahu. Ada yang bimbang dilihat sebagai mencampuri urusan orang lain. Ada juga yang terlalu sibuk dengan kehidupan sendiri.

Akibatnya, tindakan hanya diambil apabila keadaan sudah terlambat. Lebih membimbangkan, situasi ini bukan lagi kes terpencil, tetapi menunjukkan satu pola yang berulang. 

Justeru, pendekatan baharu perlu difikirkan untuk mengembalikan fungsi komuniti sebagai sistem sokongan pertama dalam masyarakat.



Peranan jiran tidak seharusnya dilihat sebagai pilihan, tetapi sebagai satu tanggungjawab sosial. Langkah mudah seperti bertanya khabar, mengenali rutin asas jiran, dan peka terhadap perubahan luar biasa boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati seseorang.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu dididik untuk memahami bahawa keprihatinan bukan satu bentuk pencerobohan privasi, sebaliknya satu bentuk kemanusiaan. 

Kita tidak perlu menjadi terlalu rapat, tetapi cukup untuk tidak menjadi asing. 

Akhirnya, persoalan yang perlu kita tanya kepada diri sendiri jika sesuatu berlaku kepada kita, adakah jiran kita akan sedar? Atau kita juga akan menjadi satu lagi statistik dalam laporan berita? 

Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. - KitaReporters


16
16
0
9
0

Copy Link: