Video| Havoc! Anak lembu terperangkap di tengah sungai! Itulah nakal sangat! Mujur ada beting pasir!
Published byFenomena beting pasir di tengah sungai sememangnya bukan perkara luar biasa.
Namun kewujudannya yang samar, cetek di tengah, dalam di kiri kanan, sering mengundang bahaya terutama kepada haiwan yang tidak menjangka perubahan dasar sungai.

Dalam satu kejadian tular dalam TikTok, kenakalan
seekor anak lembu yang dipercayai turun ke tebing untuk minum air akhirnya membawa
padah apabila ia dihanyutkan arus sebelum tersangkut di atas beting pasir di
tengah sungai.
Rakaman video yang dimuat naik oleh pengguna media
sosial dikenali sebagai Shah Mazar Mazar memaparkan detik cemas apabila dia
menyedari kehadiran ‘sesuatu’ di tengah sungai.
“Macam ada sesuatu. Ha tu dia, seekor anak lembu. Aku nak buat macam mana ni?” katanya sambil menghampiri anak lembu tersebut dengan menaiki bot.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata netizen
meluahkan rasa simpati dan berharap agar haiwan tersebut diselamatkan segera.
“Allahu, kasihannya, tolonglah selamatkan dia bang,”
tulisnya ringkas namun penuh harap.
Menjawab kebimbangan orang ramai, pemilik video
kemudian memaklumkan bahawa anak lembu tersebut berjaya diselamatkan.
“Dah selamatkan, alhamdulillah,” balasnya ringkas, sekali gus melegakan hati para penonton yang mengikuti perkembangan video berkenaan.

Pada masa sama, terdapat juga netizen yang tertarik dengan keadaan sungai yang kelihatan cetek di tengah.
“Wow, tengah-tengah sungai airnya sedalam itu sahaja?” Soalan itu dijawab oleh Shah Mazar dengan penjelasan bahawa kawasan tersebut sebenarnya adalah beting pasir.
“Beting pasir tu bos. Belakang tu sangat dalam,” katanya, menjelaskan bahawa hanya bahagian tertentu sahaja cetek manakala kawasan lain sangat dalam.

Tidak kurang juga yang berkongsi pengalaman sendiri mengenai sifat lembu, khususnya baka tertentu. Seorang netizen menyatakan bahawa lembu baka Brahman memang terkenal dengan sikap lasak dan tidak takut air.
“Aku dulu bela seekor, letih. Air tak takut, selamba lintas sungai,” tulisnya berseloroh, malah mengakhiri kisahnya dengan nada humor apabila lembu tersebut akhirnya dijual.
Dalam satu lagi komen, netizen mempersoal bagaimana anak lembu itu boleh berada di tengah sungai.
Shah Mazar menjelaskan kemungkinan besar haiwan itu tergelincir ketika turun minum di tebing sebelum dihanyutkan arus.
“Dia sangkut kat beting pasir tu,” jelasnya, menggambarkan situasi sebenar yang berlaku.

Menariknya, ada juga netizen yang berseloroh mengenai keajaiban anak lembu itu yang seolah-olah boleh berdiri di tengah sungai.
“Ilmu apa dia pakai, boleh berdiri di tengah-tengah sungai?” tanya netizen tersebut.
Soalan itu sekali lagi dijawab dengan penjelasan teknikal tentang beting pasir yang menyebabkan kawasan tersebut kelihatan cetek walaupun sebenarnya dikelilingi air dalam.
Video susulan (bahagian kedua) turut dimuat naik, memperlihat usaha menyelamat yang berjaya membawa anak lembu itu kembali ke darat. Walaupun tidak dapat dipastikan siapa pemilik haiwan tersebut, netizen tetap bersyukur dengan pengakhiran yang baik.
“Asalkan dia selamat sudah,” kata Shah Mazar ketika menjawab pertanyaan salah seorang netizen.
Perkongsian tersebut turut dibanjiri doa dan kata-kata positif.
“Asbab tolong lembu tu, insya-Allah rezeki abang melimpah ruah, ikan penuh bot, jala tak pernah kosong,” tulisnya panjang lebar. Doa tersebut disambut baik oleh pemilik video dengan ucapan amin.

Tindakan pantas Shah Mazar Mazar membantu anak lembu tersebut wajar mendapat pujian.
Sikap prihatin terhadap haiwan jelas masih menebal dalam kalangan masyarakat, terbukti melalui reaksi netizen yang bukan sahaja bersimpati, malah mendoakan kesejahteraan penyelamat.
Akhirnya, kisah anak lembu ‘nakal’ ini berakhir dengan selamat. Satu pengakhiran yang melegakan, bukan sahaja kepada individu yang berada di lokasi kejadian, tetapi juga ribuan netizen yang mengikuti detik cemas tersebut dalam media sosial. - KitaReporters
