Seorang penyelia bahagian pengeluaran kilang berdepan kesukaran dalam hidup apabila ketumbuhan pada tulang rahangnya semakin membesar sehingga menjejaskan kehidupan harian dan berisiko mengancam nyawa.



Mohamad Khamarul Johariusin, 26, memerlukan dana sebanyak RM80,000 bagi membiayai pembedahan membuang tumor pada rahang bawah yang didiagnos sebagai tumor ameloblastoma (mandible ameloblastoma).

Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan dia tidak mampu menjalani kehidupan seperti biasa kerana keadaan tumor semakin membesar dari hari ke hari.

"Saya sekarang tidak mampu menutup mulut sepenuhnya selain air liur, darah dan cecair keluar tanpa henti. 

“Selain itu, saya juga sukar tidur kerana menanggung kesakitan berterusan. Saya takut tidak sempat melihat anak-anak membesar,” katanya dalam kenyataan media pada 11 Mei 2026.

Bapa dua cahaya mata dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu berkata, masalah tersebut bermula kira-kira lima tahun lalu selepas dia menyedari terdapat bengkak kecil pada dagu, namun menyangka ia hanya masalah gusi biasa kerana tidak mengalami sebarang kesakitan ketika itu.

Bagaimanapun, keadaan bertambah buruk apabila ketumbuhan terus membesar meskipun dia telah mendapatkan rawatan di pelbagai pusat perubatan termasuk menjalani prosedur mencabut gigi, mengeluarkan nanah dan pemeriksaan lanjut.

"Pada penghujung tahun lalu (2025), keadaan saya menjadi semakin serius apabila saya tidak lagi mampu menutup mulut dan wajah mengalami perubahan ketara sebelum disahkan menghidap tumor tersebut.

"Kini, ketumbuhan menyebabkan air liur, nanah dan darah keluar secara berterusan selain menekan saraf sehingga mengakibatkan saya sering sakit kepala kronik, gangguan tidur dan masalah keseimbangan badan,” katanya.



Mohamad Khamarul berkata, dia tidak lagi mampu mengunyah makanan seperti biasa dan hanya bergantung kepada makanan lembut seperti bubur dan susu selain tidak mampu berdiri lama kerana tumor yang berat.

"Doktor turut memberi amaran bahawa jika rawatan lambat, ia boleh menyebabkan tumor bertukar menjadi kanser atau menyebabkan tulang rahang patah.

“Sebelum ini saya ke hospital kerajaan bagi rawatan termasuk cadangan pembedahan membuang keseluruhan tulang rahang dan pembinaan semula menggunakan pemindahan tulang.

“Namun, disebabkan prosedur itu sangat kompleks kerana melibatkan saraf berhampiran otak serta berisiko menyebabkan strok atau kematian, saya kemudiannya dirujuk ke hospital pakar,” katanya.

Beliau berkata, dia terpaksa merayu bantuan dana orang ramai bagi menampung kos pembedahan itu kerana tidak berkemampuan.



Sementara itu, pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu Mohamad Khamarul selepas menerima permohonan.

Beliau berkata, kos keseluruhan pembedahan dianggarkan mencecah RM80,000 iaitu jumlah yang sukar ditanggung keluarganya memandangkan dia telah mengambil cuti tanpa gaji sejak September tahun lalu (2025).

“Dia juga memaklumkan berisiko kehilangan kerja sekiranya masih gagal kembali bekerja selepas Mei ini (2026).

“Isteri Mohamad Khamarul, Nurul Aisyah Vanaja, 27, merupakan suri rumah selain anaknya baru berusia setahun dan tiga bulan,” katanya.

Sui Hau berharap, orang ramai yang ingin menyumbang kepada Mohamad Khamarul boleh berbuat demikian menerusi akaun One Hope Charity & Welfare dengan Public Bank Berhad, yang bernombor akaun 3193433435, atau melalui swift code PBBEMYKL atau melalui laman web www.onehopecharity.org.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat menerusi panggilan ke talian 016-4192 192, 019-2322 192 atau 04-539 9212. - KitaReporters

8
15
0
12
0

Copy Link: