Tolong kami! Bantu Dr Harniza! Bekas pensyarah harungi kesukaran hidup! Hidapi SLE, kanser, anemia!
Published bySalam, sempena Hari Guru/Pendidik pada 16 Mei 2026 lalu, penulis ingin berkongsi kisah sedih Dr Harniza Abd Razak seorang bekas pensyarah yang kini mengharungi kesukaran hidup kerana mengidap pelbagai penyakit seperti SLE, kanser dan anemia.
Keadaan beliau sangat menyedihkan kerana terpaksa memakai pampers 24 jam dan lumpuh serta mengalami pendarahan otak yang semakin serius

Dr Harniza Abd Razak yang kini mengalami beberapa penyakit kronik seperti SLE, kanser dan anemia.
Inilah kisah wanita akademik yang cekal bernama Harniza. Tidak siapa tahu di sebalik segulung ijazah doktor falsafah (PhD), kadangkala tersembunyi penderitaan yang tidak pernah diketahui masyarakat.
Ramai memandang pemegang PhD sebagai simbol kejayaan, kebanggaan, kemewahan dan dapat menikmati kehidupan yang selesa.
Namun kisah ini membuktikan bahawa perjalanan ilmu ada kalanya dibayar dengan air mata, kesakitan dan pengorbanan hidup yang sangat mahal.
Dr Harniza yang kini berusia 46 tahun pernah menjadi pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi awam di Kuala Terengganu.
Di dalam dunia akademik, Dr Harniza bukan calang-calang wanita. Beliau memiliki PhD dalam Pengajian Bahasa Inggeris dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pernah mendalami bidang Bahasa Inggeris di University of Nottingham serta UIAM.
Minatnya terhadap dunia pendidikan begitu mendalam. Beliau pernah menjadi tenaga pengajar dan pemeriksa MUET, selain aktif dalam bidang ESL (Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) dan penulisan akademik.
Beberapa hasil kajian akademiknya turut diterbitkan dalam platform Academia.edu, antaranya berkaitan penggunaan Automated Writing Evaluation (AWE) untuk meningkatkan penguasaan bahasa pelajar ESL.

Kredit foto: FB Harniza Abd Razak
Namun di sebalik kecemerlangan akademik itu, tubuhnya sedang bertarung dengan kesakitan. Melalui mesej penulis bersama beliau dalam platform Facebook, Dr Harniza mengalami pelbagai masalah kesihatan ketika sedang menyiapkan pengajian PhD sehingga sekarang penyakitnya semakin serius.
Beliau berjaya menamatkan PhD sekitar tahun 2016, tetapi tidak lama kemudian kehidupannya berubah sepenuhnya apabila diserang strok pada tahun 2017 sehingga lumpuh separuh badan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.
Ujian hidup beliau tidak terhenti di situ. Pada tahun 2018, beliau pula disahkan menghidap kanser ovari dan menjalani pembedahan membuang sebelah ovarinya.
Ketika sedang cuba bangkit daripada strok dan kanser, beliau sekali lagi diuji apabila disahkan menghidap penyakit autoimun Systemic Lupus Erythematosus (SLE).
Lebih menyayat hati, wang simpanan KWSP yang dikumpul selama bertahun-tahun habis digunakan untuk menampung rawatan dan pengajian. Akibat keadaan kesihatan yang semakin merosot, beliau tidak lagi mampu bekerja seperti dahulu.
Ironinya, seorang wanita yang memiliki pendidikan tinggi dan pernah mendidik ramai pelajar kini berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan harian.
Kisah Dr Harniza sebenarnya membuka mata masyarakat tentang realiti dunia akademik yang jarang diperkatakan. PhD bukan sekadar sijil atau gelaran “Dr” di hadapan nama. Ia datang bersama tekanan mental, pengorbanan kewangan, kesunyian emosi dan perjuangan fizikal yang panjang.
Ramai melihat kejayaan di penghujung tamatnya PhD, tetapi tidak melihat malam-malam tanpa tidur, kesakitan tubuh yang dipaksa bertahan, serta tekanan emosi ketika menyiapkan tesis.
Dalam keadaan kesihatan yang sangat mencabar, Harniza tetap menunjukkan semangat luar biasa. Beliau masih mempunyai keinginan untuk bekerja dan berkongsi pengalaman hidup demi memberi inspirasi kepada masyarakat.
Semangat itu menjadikan beliau bukan sekadar seorang bekas pensyarah, tetapi simbol ketabahan seorang wanita akademik yang berjuang melawan takdir hidupnya sendiri.

Kredit foto: FB Harniza Abd Razak
Kisah ini juga wajar membuka perbincangan lebih besar tentang kebajikan ahli akademik dan pesakit kronik di negara ini.
Apakah sistem sokongan yang benar-benar tersedia apabila seseorang ilmuwan jatuh sakit? Adakah masyarakat hanya menghargai ilmu ketika seseorang itu masih mampu bekerja?
Bagi Dr Harniza, harga sebuah PhD ternyata terlalu mahal. Ia bukan sekadar bertahun-tahun menghadap buku dan kajian, tetapi juga pengorbanan kesihatan, masa depan dan seluruh kekuatan hidup seorang wanita.
Namun di sebalik semua penderitaan itu, beliau masih berdiri dengan semangat seorang pejuang ilmu.
Sama-sama kita doakan Dr Harniza terus kuat dan tabah menghadapi dugaan dan ujian-ujian hidup ini.
Yang terkini beliau sangat mengharapkan bantuan dari pihak-pihak tertentu kerana hidupnya semakin sukar.
Moga lebih ramai tampil menghulurkan bantuan dan doa buat beliau. Sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke akaun Bank Islam bernombor 1304 4020 1151 18 (Harniza Abd Razak). - KitaReporters
