Roslan bersama kerusi roda dan kotak infak yang disumbangkan oleh Pertubuhan Muszleem Malaysia:Kredit gambar Unit Media Muszleem Malaysia


IMPIAN seorang lelaki yang mendapatkan sebuah kerusi roda bagi memudahkan dia melakukan pergerakan akhirnya menjadi kenyataan apabila sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan nasib malang yang menimpanya tampil untuk memberi sumbangan kepada lelaki berkenaan. 

Roslan Abdul Samad, 51, dari Kampung Cawat, Kuala Besut, Terengganu menghadapi masalah dengan penyakit buah pinggang serta tidak dapat bergerak kerana patah tulang paha akibat kemalangan jalan raya menyebabkan dia tidak boleh berjalan.

Beliau tinggal bersama isteri dan seorang anak dan terpaksa meminta bantuan ahli keluarganya untuk membawanya pergi membuat rawatan dialisis tiga kali kali seminggu di Hospital Besut.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kerusi roda

Roslan bersyukur kerana pihak NGO Muszleem Malaysia menyumbangkan kerusi roda kepadanya


Roslan, sebelum ini bekerja dalam sektor perlancongan dan pemindahan barang. Setelah menghidapi penyakit ini setahun yang lalu, beliau hilang punca pendapatan dan hanya mengharapkan bantuan.

Beliau juga telah lama berhasrat untuk mendapatkan kerusi roda bagi membantunya untuk bergerak kerana kerusi roda yang sedia ada sekarang adalah dipinjam daripada rakan dan sudahpun rosak.

Ketika menerima kerusi roda terbabit, Roslan tidak dapat menahan perasaan hiba kerana impiannya sebelum ini sudah tercapai apabila ada pihak yang bersimpati dengan nasib malang yang menimpa dirinya.


Roslan mencuba kerusi roda yang baharu diterima sambil diperhatikan oleh Izzat Mohd Zubir


Menghidu keperluan yang dihadapi lelaki terbabit, sebuah badan bukan kerajaan dikenali Muszleem Malaysia tampil menghulurkan sumbangan kepada Roslan.

Pegawai Perhubungan Awam Muszleem Malaysia, Izzat Mohd Zubir, menggerakkan sukarelawan pertubuhan itu untuk menyampaikan kerusi roda tersebut kepada Roslan di rumahnya pada Sabtu, 10 Julai 2021 lalu.

“Dengan sedikit pemberian Kotak Infak dan kerusi roda tersebut ia diharapkan agar dapat mengurangkan sedikit sebanyak beban beliau.” katanya.

Katanya, Muszleem Malaysia selain memberi bantuan peralatan kepada mereka yang memerlukannya, pertubuhan itu juga turut menyantuni asnaf yang terkesan akibat pandemik dengan pengagihan Kotak Infak yang mengandungi barangan keperluan dapur.



“Sejak pelaksanaan PKP pada Februari 2020 sehingga kini beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN), pertubuhan itu sudah mengagihkan lebih 5,000 bakul makanan kepada penduduk daerah Besut yang terjejas dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, pertubuhan itu mencari idividu yang sudi menderma serendah RM10 untuk misi bantuan Kotak Infak ini. 

Mereka yang berhasrat untuk sama-sama berkongsi rezeki bolah menyalurkan sumbangan kewangan melalui akaun Maybank : 5630 4632 5663. - KitaReporters


Izzat Mohd Zubir

 

 

 

1
1
1
0
0

Copy Link: