Mengambil perhatian serius mengenai bidang keusahawanan yang diceburi oleh alumni, Pusat Alumni dan Kerjaya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui inisiatif Majlis Usahawan Alumni USIM (MAWASIM) telah menganjurkan Siri Jelajah Usahawan Alumni USIM

Program ini merupakan inisiatif untuk membolehkan pengurusan USIM turun padang bagi melihat sendiri perniagaan yang diusahakan oleh alumni USIM

Justeru, lawatan muhibah Pengurusan USIM ke Syarikat Hasnuri Sdn Bhd di Pasir Gudang, Johor baru-baru ini merupakan program pertama yang dilaksanakan di bawah inisiatif ini.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan alumni universiti


Berdasarkan intipati lawatan kerja yang dijalankan, beberapa aspek kerjasama yang dibincangkan melibatkan kerjasama dalam bidang akademik, meliputi cadangan penubuhan Akademi Hasnuri, penerbitan kajian kes keusahawanan, penglibatan Jemaah Profesor/Ahli Akademik USIM dalam penyelidikan keusahawanan Hasnuri serta program sangkutan kakitangan Akademik/Pentadbiran USIM di Hasnuri bagi tujuan mempelajari budaya kerja organisasi Hasnuri.

Manakala dari aspek penerokaan kerjasama dalam Program Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya, Hasnuri bakal membuka peluang kepada pelajar USIM untuk menjalani latihan industri serta membina peluang kerjaya dalam pelbagai bidang di samping membuka peluang kepada staf bagi menambah pendapatan.

Kerjasama yang bakal dimeterai juga antara lain termasuklah penajaan Anugerah Khas Majlis Konvokesyen USIM, bantuan dalam Program Tanggungjawab Sosial Universiti/Korporat, pembukaan ‘outlet’ Hasnuri di USIM serta penglibatan Hasnuri dalam program kebajikan/motivasi untuk pelajar.




Prof Dr Mohd Adnan Mohd Yusof, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEPA) berkata, perbincangan antara usahawan Alumni bersama alma mater ini merupakan salah satu strategi untuk membantu memastikan alumni USIM terus bersama universiti agar pelbagai kerjasama strategik dapat dilaksanakan untuk kebaikan bersama. 

Semoga usaha murni ini akan dapat diteruskan lagi dengan Usahawan Alumni USIM yang lain pula secara sistematik dan komprehensif.

Sementara itu, Nuriah Zakaria yang juga pengasas Hasnuri berkata, Ilmu Naqli dan Aqli yang diterapkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran di USIM amat berguna dan sememangnya bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri. 

Falsafah dan ilmu dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang ditimba di USIM turut diterapkan semula dalam aspek pengurusan perniagaan di Hasnuri. 

Ini termasuklah pembudayaan cara kerja yang berlandaskan Islam di Hasnuri, ujarnya lagi.

Hadir sama ke lawatan kerja tersebut adalah Datuk Zulkifli Albakry, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan USIM. - KitaReporters


 

 

15
10
0
10
0

Copy Link: