Seramai enam daripada 32 anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 telah mencatatkan keputusan yang cemerlang.


Ismail Sabri Yaakob (kiri) bersama Aisyah Maharuddin (dua dari kiri).


Mereka ialah: 

1. Aisyah Binti Maharuddin (10A) -- Sekolah Menengah Agama Repah 

2. Nur Aqilah Alya Binti Mohamad (9A) -- Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar 

3. Nurhanani Ainan Binti Khafizan (9A) -- Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib 

4. Nurul Iffah Hafshah Binti Irwan (8A) -- Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu 

5. Nur Afiqah Najla Binti Maharin (5A) -- Maktab Rendah Sains MARA Bentong 

6. Anis Shazrina Binti Anuar (5A) -- Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya 

Bagi meraikan kecemerlangan anak-anak ini, Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob telah berkunjung ke rumah Aisyah di Taman Asahan Indah, Gemencheh. 

Ismail Sabri bersama seluruh warga YKM merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak-anak YKM yang telah mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2025.

“Kejayaan ini bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi merupakan manifestasi kekuatan jiwa, ketabahan dan keazaman tinggi anak-anak yang telah melalui pelbagai cabaran kehidupan. 

"Ia membuktikan bahawa dengan sokongan yang berterusan dan peluang yang saksama, setiap anak Malaysia mampu melakar kejayaan yang membanggakan,” kata bekas Perdana Menteri Kesembilan itu. 

Ismail Sabri menegaskan bahawa kejayaan ini adalah bukti bahawa agenda pemerkasaan pendidikan dan kebajikan anak-anak Keluarga Malaysia berada pada landasan yang tepat. 

“Setiap kejayaan anak-anak ini adalah simbol harapan negara. 

"Mereka bukan sahaja membuktikan keupayaan diri, malah menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa masa depan negara terletak pada generasi yang berilmu, berdaya tahan dan berakhlak,” tambah beliau lagi. 

Selain enam pelajar cemerlang ini, YKM akan turut membantu pelajar-pelajar lain untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang TVET atau kemahiran dengan kerjasama agensi-agensi seperti MARA atau kolej kemahiran yang berkaitan. 

Turut bersama dalam ziarah kasih ini adalah Ahli Parlimen Tampin, Dato’ Mohd Isam Mohd Isa. 

Terdahulu, Ismail Sabri turut menziarahi Nur Aqilah Alya di FELDA Jelai 4, Gemas yang turut mencatat keputusan membanggakan iaitu 9A. 

Kedua-dua pelajar ini telah menerima Bantuan Kecemerlangan SPM 2025 daripada Pengerusi YKM sebagai tanda penghargaan dan tahniah atas kecemerlangan dalam peperiksaan terbesar itu. 


Ismail Sabri (kanan) bersama Nur Aqilah Alya Mohamad.


Anak-anak YKM yang memperoleh keputusan 5A ke atas akan turut menerima bantuan kecemerlangan ini pada 6 April 2026 (Isnin) dan akan dikreditkan ke akaun bank masing-masing. 

Sehubungan itu, YKM akan terus memperkukuh inisiatif sokongan pendidikan dan pembangunan holistik agar anak-anak ini bukan sahaja berjaya dalam akademik, malah mampu menjadi warganegara yang menyumbang kepada kemajuan negara. 

Kejayaan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada lebih ramai anak-anak YKM untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dan seterusnya memainkan peranan penting dalam membina masa depan Malaysia yang lebih gemilang. - KitaReporters/Kenyataan Media

19
17
0
9
0

Copy Link: