Sempena ulang tahun Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang ke-121, sebanyak lebih 30 Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) ditawarkan pada tahun ini dengan anggaran peruntukan sebanyak RM4 juta.

Sehubungan itu, bermula 8 Februari lalu sehingga 8 April 2024 ini, permohonan biasiswa dibuka oleh Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) kepada semua rakyat Malaysia yang ingin atau sedang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di universiti awam atau swasta merangkumi pelbagai bidang. 

Mengumumkan demikian, Menteri Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Aaron Ago Dagang (gambar bawah) berkata, “YTAR terus meningkatkan akses pendidikan tinggi terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik rentas agama dan bangsa di samping mengetengahkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan belia.”



BTAR adalah biasiswa komprehensif yang berfungsi sebagai platform untuk membentuk pemimpin muda yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan negara. 

Biasiswa ini terbuka kepada pelajar yang berasal daripada pelbagai latar belakang di Malaysia, terutama daripada komuniti kurang berkemampuan. 

Selain penilaian daripada aspek akademik dan kokurikulum, pelajar turut akan dinilai melalui ciri-ciri kepimpinan, keupayaan untuk mengatasi cabaran serta hasrat untuk menyumbang semula kepada negara. 

Antara kriteria pemilihan meliputi perkara berikut:

  • Mempunyai ketabahan untuk mengatasi cabaran
  • Mempunyai potensi daya kepimpinan yang boleh dikembangkan 
  • Menunjukkan prestasi akademik dan kokurikulum yang cemerlang
  • Berasal daripada latar belakang yang mencabar, seperti calon dari luar bandar, calon OKU serta calon daripada keluarga yang mempunyai pendapatan bawah RM4,850 sebulan.

Biasiswa BTAR menawarkan sembilan (9) jenis elaun untuk meringkan beban pelajar dalam menjalani pengajian termasuk tajaan penuh yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun pembangunan diri, elaun buku, elaun alat tulis, elaun komputer riba, elaun tesis, elaun pakaian rasmi dan elaun tiket penerbangan. 

Selain itu, BTAR turut menawarkan program pembangunan kepimpinan selama dua (2) tahun. 



Untuk rekod, sejak tahun 2007, Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) telah menganugerahkan BTAR kepada lebih 400 orang pelajar yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda di pelbagai universiti tempatan awam dan swasta dengan anggaran peruntukan lebih RM50 juta. 

YTAR telah ditubuhkan pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen dengan objektif awal untuk menyokong belia melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi. 

Para pelajar yang berminat untuk memohon BTAR boleh melayari laman web YTAR di www.yayasantar.org.my - KitaReporters


Foto Kredit: FB Aaron Ago Dagang,

12
13
0
13
0

Copy Link: