Catatan Akademik| Mental sihat baru syok raya! Jaga kesejahteraan emosi semasa sambutan Aidilfitri!
Published byOleh WAN NOR AHMAD SYAIFUDDIN WAN NORAZMI
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Hari Raya Aidilfitri merupakan saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam.
Ia bukan sahaja detik kegembiraan selepas sebulan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan, bahkan ia juga menjadi ruang untuk meraikan kemenangan rohani, malah turut menjadi waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta memperkukuh nilai kebersamaan.

Namun, di sebalik kemeriahan persiapan, kunjung-mengunjung dan pelbagai komitmen sosial, aspek kesihatan mental juga perlu diberi perhatian agar sambutan Aidilfitri benar-benar membawa ketenangan dan kegembiraan yang positif dan seimbang.
Dalam kesibukan menyambut lebaran, tekanan emosi kadangkala boleh timbul tanpa disedari.
Sama ada daripada jangkaan yang terlalu tinggi, keletihan fizikal, perbelanjaan yang meningkat, atau situasi sosial yang sensitif.
Oleh itu, penting untuk kita mengurus emosi dengan bijak supaya hari raya kekal menjadi detik yang bermakna dan menenangkan. Berikut tujuh (7) panduan ringkas yang boleh membantu menjaga kesejahteraan mental sepanjang musim perayaan:
Urus jangkaan secara realistik
Tidak semua perkara perlu sempurna. Sama ada dari segi rumah, juadah mahupun penampilan.
Hakikatnya, makna hari raya terletak pada nilai kebersamaan, kemaafan dan kesyukuran. Mengurangkan tekanan untuk mencapai kesempurnaan dapat membantu kita menikmati pengalaman perayaan dengan lebih tenang.
Tetapkan sempadan emosi
Hari raya sering menjadi ruang pertemuan dengan ramai saudara-mara dan kenalan. Kadangkala, timbul soalan yang bersifat peribadi seperti tentang jodoh, anak atau kerjaya.
Dalam situasi ini, kita boleh menjawab secara sopan dan ringkas. Ingatlah bahawa setiap individu berhak menjaga privasi serta kesejahteraan emosinya.
Rancang kewangan dengan bijak
Perbelanjaan semasa musim perayaan mudah meningkat jika tidak dirancang dengan baik.
Amalan berbelanja mengikut kemampuan dan mengelakkan perbandingan dengan orang lain dapat membantu mengurangkan tekanan kewangan selepas raya.
Ambil masa untuk berehat
Jadual ziarah yang padat kadangkala menyebabkan keletihan fizikal. Keletihan ini boleh memberi kesan kepada emosi dan tahap kesabaran seseorang. Oleh itu, selitkan masa untuk berehat agar tubuh dan minda dapat kembali segar.

Raikan secara sederhana dan bermakna
Aidilfitri adalah tentang hubungan dan nilai kemanusiaan. Fokus kepada interaksi yang berkualiti bersama keluarga dan sahabat lebih bermakna berbanding mengejar jumlah kunjungan yang banyak.
Peka terhadap emosi diri
Bagi sesetengah individu, hari raya juga boleh menjadi waktu yang menyentuh emosi, terutama bagi mereka yang kehilangan insan tersayang atau melalui fasa kehidupan yang mencabar.
Jika berasa sedih, kosong atau tertekan, akuilah perasaan tersebut. Tidak semua orang mengalami emosi yang sama ketika perayaan, dan itu adalah perkara yang normal.
Amalkan syukur dan refleksi diri
Luangkan sedikit masa untuk bermuhasabah dan mensyukuri nikmat yang ada. Amalan kesyukuran terbukti dapat meningkatkan kestabilan emosi serta memberi rasa ketenangan dalam diri.

Secara keseluruhannya, Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar tentang kemeriahan luaran, tetapi juga tentang ketenangan dalaman. Dengan memberi perhatian kepada kesejahteraan mental, kita bukan sahaja dapat menikmati perayaan dengan lebih bermakna, malah turut mewujudkan suasana yang lebih harmoni dalam keluarga dan masyarakat.
Akhirnya, apabila minda sihat dan emosi terjaga, barulah sambutan hari raya benar-benar terasa lebih tenang, bermakna dan… syok raya!
Wan Nor Ahmad Syaifuddin Wan Norazmi ialah Pegawai Psikologi dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.

