Kematian adalah sesuatu yang pasti. Setiap yang hidup pasti akan merasa saat kematian sama ada haiwan ternakan, tumbuh-tumbuhan mahupun manusia. Semuanya pasti akan merasai saat roh terpisah daripada tubuh badan.



Pengurusan jenazah merupakan salah satu contoh utama fardu kifayah. Ia melibatkan proses memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan, dan mengebumikan jenazah seorang Muslim yang telah meninggal dunia. 

Menurut hadis Nabi Muhammad SAW, “Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga ia disembahyangkan, maka baginya pahala satu qirat. Dan sesiapa yang menyaksikannya sehingga jenazah itu dikebumikan, maka baginya pahala dua qirat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Proses memandikan jenazah melibatkan pembersihan badan si mati dengan air dan daun bidara (sidr) sebanyak tiga, lima, atau tujuh kali. 

Selepas itu, jenazah akan dibalut dengan kain kafan putih yang bersih. Bilangan lapisan kain kafan yang digunakan adalah berbeza mengikut jantina si mati -- tiga lapis untuk lelaki dan lima lapis untuk perempuan. 

Setelah jenazah dikafankan, umat Islam akan berkumpul untuk menunaikan solat jenazah secara berjemaah. Solat ini terdiri daripada empat takbir tanpa rukuk dan sujud. Selepas solat, jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan mengikut tatacara Islam.


 

Gambar Ihsan... Badan Khairat Kematian Taman Desa Jaya, Johor 


Oleh itu, pengurusan jenazah secara efisien dan teratur adalah penting untuk memastikan setiap jenazah diuruskan dengan baik sebagai memenuhi tuntutan fardu kifayah. 

Penulis berpendapat, ilmu pengurusan jenazah perlu dipelajari bagi setiap orang terutama sekali bagi kaum lelaki serta anak lelaki di dalam satu keluarga bagi memudahkan urusan pengurusan jika berlaku kematian melibatkan ahli keluarga. 

Acap kali kita lihat apabila ibu bapa menghembuskan nafas terakhir, anak-anak tidak tahu apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu dan hanya menyerahkan bulat-bulat urusan jenazah kepada pihak hospital atau kariah masjid. 

Situasi ini amat menyedihkan kerana kita mempunyai masa dan peluang untuk mempelajari ilmu pengurusan jenazah ini tetapi menganggapnya acuh tidak acuh sahaja sehinggalah kematian terjadi dalam kalangan ahli keluarga terdekat sendiri. 

Anak lelaki terutama memikul tanggungjawab yang besar bagi memandikan, mengkafankan, menyolatkan serta mengkebumikan ibu bapa yang meninggal dunia. Anak lelaki boleh juga mengimamkan solat jenazah sebelum jenazah di bawa ke tanah perkuburan. 

Apabila kita sebut fardu kifayah, ia adalah kewajipan bersama yang dipertanggungjawabkan ke atas sesebuah komuniti Islam secara keseluruhan. 

Jika sebahagian ahli komuniti melaksanakannya, maka gugurlah kewajipan tersebut ke atas seluruh komuniti. Namun, jika tiada seorang pun yang melaksanakannya, maka seluruh komuniti akan menanggung dosa.


Masjid Jamek Kampung Sermin, Segamat


Penulis masih ingat lagi pada bulan Ramadan tahun 2024 di Segamat, seorang imam yang rebah dan meninggal dunia ketika mengimamkan solat subuh sempat memberi nasihat terakhir kepada anak-anaknya pentingnya wajib belajar cara menguruskan jenazah. 

Menurut Mohd. Syukri Mohd. Razif, 35, anak sulung kepada Imam 1 Masjid Jamek Kampung Sermin, Mohd. Razif Hussin, 62, bapanya pernah berpesan kepada mereka adik-beradik untuk belajar ilmu fardu kifayah tersebut.

Arwah bapanya sebelum ini pernah berpesan kepadanya dan adik-adik supaya wajib belajar uruskan dan tahu solat jenazah kerana nanti apabila dia meninggal dunia, anak-anak lelaki boleh uruskan jenazahnya. 

“Sekarang kami sudah tunaikan amanatnya dan itulah khidmat terakhir kami untuk arwah bapa kami. Amanat bapa saya itu menggambarkan seolah-olah dia mendapat petanda awal akan meninggalkan kami sekeluarga selama-lamanya. 

“Akhirnya ia menjadi realiti namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi ini di mana dia pergi dengan cara yang baik, di tempat yang baik iaitu di masjid dalam bulan Ramadan,” kongsinya.


Mohd Razif Hussin 


Mohd Syukri Mohd Razif menunjukkan gambar arwah bapanya 


Penulis difahamkan Mohd. Razif dikatakan rebah ke bahagian hadapan mimbar ketika mengimamkan solat subuh pada rakaat pertama di masjid berkenaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Segamat (HDS). 

Begitulah singkatnya perjalanan kita di dunia ini. Penulis berharap pihak sekolah dapat membawa subjek pengurusan jenazah secara teori dan praktikal di dalam silibus pengajian agama di sekolah bagi memberikan pendedahan serta ilmu fardu kifayah ini sejak di bangku sekolah. 

Meskipun banyak organisasi yang melakukan khidmat pengurusan jenazah secara percuma masa kini, namun ilmu pengurusan jenazah ini perlu dididik sedari rumah bagi menyiapkan anak-anak kita seawal mungkin. - KitaReporters

19
14
0
7
0

Copy Link: