Celebrate Different Minds! Berjalan untuk Autisme gabungkan semua! Pupuk kesedaran dan keterbukaan!
Published byUntuk tiga tahun berturut-turut, pusat pendidikan khas, Taraana School yang telah memenangi pelbagai anugerah berjaya menganjurkan Walk For Autism (Berjalan untuk Autisme) 2026 bertempat di Tropicana Metropark Urban Park, Subang Jaya, Selangor pada 11 April 2026.

Para peserta Walk for Autism 2026 di Taman Bandar Tropicana Metropark, Subang Jaya pada 11 April 2026.
Acara yang bertema Celebrate Different Minds (Meraikan Perbedaan Minda) ini berjaya menghimpunkan seramai 175 orang peserta yang terdiri daripada para pelajar Taarana, ahli keluarga serta masyarakat setempat dalam usaha memupuk kesedaran dan keterbukaan terhadap golongan autisme.
Acara jalan kaki yang dianjurkan bersempena dengan Bulan Kesedaran Autisme ini bertujuan untuk memupuk kefahaman tentang spektrum autisme di samping menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap golongan tersebut.
Para peserta berjalan kaki sejauh 3km di sekitar taman tersebut dan disusuli dengan aktiviti-aktiviti seperti kios-kios informatif, permainan dan sesi ramah mesra komuniti.
Acara ini menekankan bagaimana usaha kebersamaan masyarakat mampu memperkasakan perubahan. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Taarana untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan penerimaan golongan autisme dalam kehidupan seharian.
Melalui inisiatif ini juga, Taarana berjaya membuktikan komitmen mereka dalam memperjuangkan kesedaran, menggalakkan penerimaan serta mengeratkan hubungan dalam sebuah komuniti.
Taarana merupakan sebuah pusat pendidikan khas yang ditubuhkan oleh Yayasan Rythm, iaitu sayap impak sosial untuk Kumpulan Syarikat QI.
Pusat ini didedikasikan untuk membimbing dan mendidik kanak-kanak berkeperluan khas berusia empat hingga 18 tahun.

Dr. Sunitha Sivakumaran (kiri) berjalan bersama para pelajar, keluarga dan peserta dalam acara Walk for Autism 2026.
Acara dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Datin Seri Umayal Eswaran, Pengerusi Yayasan Rythm serta sesi memanaskan badan yang diketuai guru-guru dan ahli terapi Taarana bagi menyuntik semangat sebelum bermulanya agenda utama pada pagi ini.
Ahli keluarga, pelajar Taarana dan para peserta berjalan bersama-sama bagi memperkukuh lagi mesej bahawa kebersamaan bermula daripada penglibatan komuniti. Suasana di taman tersebut menjadi sebuah simbol solidariti yang cukup bermakna.
Acara ini menyerlahkan kepentingan mewujudkan sebuah persekitaran inklusif supaya individu neurodivergen rasa diterima dan dihargai.
“Apabila sebuah komuniti bersatu, kita boleh menghasilkan sesuatu yang hebat. Melalui acara ini, kami berharap dapat menyediakan sebuah ruang yang selamat dan ceria untuk keluarga serta masyarakat saling menyokong satu sama lain,” kata Dr. Sunitha Sivakumaran, Pengetua Taarana.
Selain aktiviti jalan kaki, para peserta turut terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang direka khas untuk mendidik dan memperkasakan masyarakat tentang autisme.
Sebanyak tujuh vendor telah mengambil bahagian dalam acara tersebut termasuklah Autism Cafe Project, Ara Damansara Medical Centre’s Child Development Centre, Sun Rehab serta Tropicana Berhad.
Kehadiran mereka adalah untuk memberi input kepada keluarga serta untuk memudahkan akses kepada rangkaian sokongan dalam komuniti.
Penyertaan mereka turut memeriahkan suasana bagi memastikan para peserta dari semua peringkat umur dalam menikmati pengalaman yang disediakan.

Keluarga seorang pelajar Taarana menyertai Walk for Autism 2026
Kejayaan acara jalan kaki ini merupakan sebuah hasil usaha kolektif para rakan kerjasama, sukarelawan dan organisasi yang sentiasa memberi sokongan.
Bagi kebanyakan individu autistik serta ahli keluarga mereka, sokongan daripada masyarakat amat bermakna dalam memupuk keyakinan, maruah serta rasa dihargai.
Hal ini jelas membuktikan kepelbagaian yang dapat dicapai apabila semua pihak bersatu melalui sebuah empati, persefahaman dan visi yang sama.
Melalui inisiatif impak sosial Yayasan Rythm, penglibatan Kumpulan QI dalam acara ini memperkukuh lagi komitmen kumpulan tersebut untuk membina sebuah komuniti yang inklusif.
“Acara hari ini bukan sekadar untuk meningkatkan kesedaran, tetapi sebuah kenyataan bahawa autisme bukanlah sesuatu yang asing. Justeru, masyarakat perlu memupuk sikap saling menghormati dan menerima perbezaan.
"Setiap langkah yang diambil bersama membuktikan bahawa neurodiversiti bukanlah satu kerumitan tetapi menguatkan komuniti kita,” ujar Umayal Eswaran dalam ucapannya.
Sebagai yayasan di sebalik Taarana, Yayasan Rythm kekal teguh dalam komitmen mereka untuk memperkasakan para individu autistik dan berkeperluan khas, sama ada melalui inisiatif pendidikan mahupun usaha melibatkan komuniti seperti hari ini.
Sokongan daripada Yayasan Rythm juga telah membolehkan Taarana melakukan jangkauan, menambah baik program sedia ada serta memperkukuhkan sokongan untuk para keluarga dan pelajar mereka.
Sejak tahun penubuhannya pada 2011, Taarana telah berkembang menjadi sebuah pusat pendidikan khas yang diiktiraf dan menawarkan kurikulum peribadi serta sokongan terapeutik untuk kanak-kanak autistik, ADHD dan cabaran perkembangan lain.

Umayal Eswaran merasmikan acara Walk for Autism 2026.
Akhir sekali, kejayaan acara Walk For Autism terletak pada komuniti yang dibina. Acara hari ini mencerminkan kekuatan tersebut dengan para pelajar Taarana menjadi nadi utama yang terus memberi inspirasi kepada semua melalui semangat mereka. - KitaReporters/Kenyataan Media
