Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tempoh satu tahun bersama rakan industri, EPI Academy Sdn. Bhd. iaitu sebuah akademi latihan yang diasaskan untuk memenuhi keperluan latihan organisasi yang terlibat dalam perkhidmatan teknikal peranti perubatan di Malaysia dan pada peringkat global.

Melalui kerjasama yang bakal dijalankan, kedua-dua entiti komited untuk meneroka peluang kerjasama dua hala dalam perkhidmatan latihan kemahiran Teknologi Kesihatan, Peranti Perubatan (Medical Devices), Medical Gases, Sistem Elektrik dan Mekanikal di hospital.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Memorandum Perjanjian (MoU) 


Menerusi ucapan aluannya, Dekan FST, Profesor Ts. Dr. Mohd Ikmar Nizam Mohamad Isa berkata, “Kerjasama ini boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk contohnya, penganjuran bengkel, ceramah, sesi perkongsian ilmu atau knowledge-sharing, guna sama infrastruktur serta keilmuan pakar-pakar berkaitan yang dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada para pelajar USIM, malah kepada kakitangan EPI Academy.

“MoU ini juga diharapkan dapat menjadi pencetus kepada EPI Academy menjadi salah satu pusat yang menerima pelajar-pelajar Tahun Akhir USIM untuk menjalankan Latihan Industri mereka sebelum bergraduat selain mewujudkan kerjasama penyelidikan antara pakar-pakar di syarikat tersebut dan USIM untuk mencari solusi dan penambahbaikan kepada infrastruktur fasiliti kesihatan, peranti perubatan dan sistem penyenggaraan kesihatan sedia ada,” ujarnya lagi.

Lebih menarik lagi, kerjasama ini berupaya menghasilkan sesuatu yang baharu dan lebih segar bagi kedua-dua pihak untuk mengorak langkah yang lebih meluas terutama dalam bidang Peranti Perubatan, Kejuruteraan Fasiliti Kesihatan, dan Industri Kesihatan secara amnya.

Hadir sama ke majlis MoU adalah Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri USIM; Jocelyn Pescante, Ketua Pegawai Eksekutif, EPI Academy; Dr. Annathurai Ranganathan, Pengarah Sumber Manusia, Strategik dan Pematuhan, EPI Academy; Prof Ts Dr Jasmy Yunus, Pengarah Akademik, EPI Academy; serta pengurusan dan kakitangan akademik FST USIM. - KitaReporters/USIM


7
12
0
19
0

Copy Link: