Istiadat konvo bertukar hening! Air mata ayah mahal harganya! Pengorbanan bapa wira tak didendang!
Published by

“Cukup-cukuplah saya berbicara tentang kejayaan institusi. Izinkan pula saya berbicara tentang pengorbanan luhur seorang insani.
“Abah, adalah hero kita buat selamanya. Insan pertama yang mengalunkan azan pada telinga. Lelaki mulia yang sentiasa mementingkan keluarga. Walau lelah dan walau rebah, kalian sentiasa maruah utamanya.“Tidak sedikit bapa sanggup mengetepikan impian sendiri, termasuk mengorbankan simpanan haji dan bekerja tanpa mengenal penat semata-mata mahu melihat anak-anak melangkah ke menara ilmu.
“Walaupun seorang ayah jarang meluahkan rasa, namun merekalah yang sering lebih dahulu menyelesaikan pelbagai urusan keluarga tanpa diminta, demi memastikan anak-anak tidak terbeban,” katanya berucap pada sesi keempat Istiadat Konvokesyen Ke-27 UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah pada Jumaat 14 November.

Prof Dr Md Amin turut berkongsi mengenai sikap unik seorang bapa yang kadang sukar diramal dan disulami misteri.
“Sebagai ayah memang tak banyak bicara, namun di hati sentiasa berkata-kata. Diam dan selamba itu mendengar tandanya. Tahu-tahu, semua masalah keluarga selesai semuanya.
“Terkadang kami, bapa menjadi bahan jenaka. Ada yang berkata, malangnya menjadi bapa. Di pejabat dibebani dan dimarahi ketuanya, pulang ke rumah pula dimarahi isterinya
“Namun ini semua lumrah seorang bapa. Duka yang hadir kami pendam dengan muka selamba. Walau hati koyak dan walau berendam nestapa, pulang ke rumah isteri dan anak mesti nampak kami gembira," katanya.
Di sebalik pengorbanan besar itu, Dr Md Amin menyeru para graduan agar terus menghargai dan tidak melupakan jasa bapa, walaupun ketika mereka sudah memiliki pendapatan sendiri dan kehidupan yang stabil.
“Ingatlah adik, kenanglah wahai anakku. Jasa abah, ayah dan baba harus kalian ingat selalu. Jangan pernah dilupa walau kalian gaji beribu. Pelantinglah (hulurlah duit) setiap bulan, bagi sama rata dengan si ibu.“Bagi mereka yang telah kehilangan bapa, amalan mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah tidak seharusnya dilupakan kerana kasih seorang ayah kekal melangkaui masa dan jarak.
“UPSI bukan sahaja meraikan pencapaian akademik graduan, tetapi turut menghargai bapa sebagai wira tanpa mahkota yang menjadi tiang kekuatan keluarga dan masa depan anak-anak,” ujar beliau.

