Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sesi 2025/2026 sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi terhadap kerja-kerja kebajikan dengan penganjuran Program Jelajah Kasih Ramadan 2026 di sekitar Lembah Klang. 



Program ini merupakan kesinambungan daripada usaha yang telah dijalankan pada tahun sebelumnya (2025), dengan fokus menyantuni golongan kanak-kanak dan warga emas yang kurang berkemampuan melalui pendekatan pendidikan serta aktiviti kebajikan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, termasuk pemberian sumbangan pakaian, perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif yang menyeronokkan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, “program ini adalah sebahagian daripada strategi universiti dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki jiwa empati, keprihatinan dan tanggungjawab sosial, sekali gus menanam serta memperkukuh nilai darmabakti kepada masyarakat dalam diri setiap mahasiswa”. Tambahan beliau, “Usaha sebegini selaras dengan komitmen HEPA UMT dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa sukarelawan dan sentiasa bersedia memberikan darmabakti kepada golongan rentan tanpa mengenal usia.”



Pengarah Program, Nur Aleya Shuhada Hameran yang juga merupakan Exco Kesukarelawanan dan Kepimpinan MPP UMT sesi 2025/2026, turut menyatakan harapannya bahawa pengalaman yang diperoleh melalui program ini akan memberi kesan mendalam kepada mahasiswa.

“Program ini adalah ruang pembelajaran yang membolehkan mahasiswa memahami realiti kehidupan masyarakat yang serba kekurangan. Pengalaman ini diyakini mampu menanam rasa tanggungjawab sosial dan meningkatkan empati dalam diri mahasiswa,” ujarnya.

Antara aktiviti utama program ini termasuk perkongsian pembelajaran mengenai kehidupan marin, pemberian pakaian terpakai, serta menyantuni komuniti warga emas. 

Aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan di Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Kuala Lumpur dan Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, dengan tujuan melahirkan mahasiswa berjiwa darmabakti melalui aktiviti interaktif dan kebajikan yang dapat menceriakan serta memberi sokongan moral kepada mereka. - KitaReporters/Kenyataan Media


1
0
0
0
0

Copy Link: