Syabas Haikal Haqimi! Pelajar TVET cipta nama peringkat nasional, antarabangsa! Jadi kebanggaan PUO!
Published byBakat muda dalam bidang seni bina, Muhamad Haikal Haqimi Nizam, 21, membuktikan kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) apabila dinobatkan sebagai pemenang Anugerah TVET Star PolyCC 2025 (Kategori Kemahiran), di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur pada 13 April 2026.


Pelajar Diploma Seni Bina dari Politeknik Ungku Omar (PUO) itu dipilih menerima pengiktirafan berprestij tersebut berdasarkan rekod pencapaian cemerlangnya dalam pelbagai pertandingan kemahiran pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Anak muda dari Kampar, Perak ini bukanlah nama asing dalam arena pertandingan kemahiran.
Sebelum ini, Haikal Haqimi telah meraih pelbagai kejayaan termasuk Pingat Emas dalam PolyCC Skills 2025 Digital Construction dan pengiktirafan antarabangsa melalui Pingat Emas dalam Built Environment Project ProAlbi 2024.
Bagi Haikal Haqimi, anugerah TVET Star yang diterimanya itu merupakan satu suntikan semangat untuk terus memartabatkan bidang seni bina di Malaysia.
"Kejayaan ini bukan milik saya seorang, tetapi hasil bimbingan pensyarah di PUO dan sokongan keluarga. Saya mahu membuktikan bahawa pelajar TVET mempunyai kemahiran yang setanding dengan standard global," katanya ketika ditemui pada 13 April 2026.

Selain aktif dalam aktiviti luar, Haikal Haqimi juga merupakan pelajar cemerlang dengan nilai Himpunan Purata Nilai Gred (CGPA) 3.80.
Beliau mahir mengendalikan perisian berteknologi tinggi seperti Revit, AutoCAD, SketchUp, dan D5 Render, yang kini menjadi tuntutan utama dalam industri pembinaan moden.
Kehebatannya juga terbukti apabila beliau berjaya melayakkan diri sebagai finalis dalam anugerah berprestij Anugerah AYDA (Asia Young Designer Awards atau Anugerah Pereka Muda Asia), satu pencapaian yang cukup sukar dicapai oleh pelajar pada peringkat diploma.
Pengarah Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh yang turut hadir pada majlis Anugerah TVET Star PolyCC 2025 di M Resort & Hotel, Kuala Lumpur, menyifatkan kejayaan Haikal Haqimi sebagai satu kebanggaan besar kepada institusi dan warga politeknik.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa pelajar PUO bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah memiliki kemahiran praktikal bertaraf industri.
"Haikal Haqimi adalah contoh terbaik bagaimana pendidikan TVET mampu melahirkan bakat yang kompetitif di peringkat global,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan tersebut juga mencerminkan komitmen PUO dalam menyediakan ekosistem pembelajaran yang holistik, berteraskan pendekatan hands-on serta pemupukan nilai inovasi dan kelestarian dalam kalangan pelajar.

Haikal Haqimi bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek yang memfokuskan kepada pembangunan lestari. Projek Tahun Akhirnya yang bertajuk 'Zero Waste Market' jelasmenunjukkan visi beliau terhadap alam sekitar.
Kemenangannya bukan sahaja membawa pulang trofi dan sijil penghargaan, malah meletakkan nama Muhamad Haikal Haqimi sebagai penanda aras baharu buat pelajar TVET di seluruh negara.
Antara pencapaian utama Muhamad Haikal Hakimi ialah
- Anugerah TVET Star PolyCC 2025 (Kategori Kemahiran);
- Pingat Emas Polycc Skills 2025 (Digital Construction);
- Pingat Perak China-ASEAN Education Cooperation Week (BIM); dan
- Finalis Asia Young Designer Awards (AYDA).
Secara keseluruhannya, kejayaan Haikal Haqimi membuktikan bahawa TVET bukan sekadar laluan alternatif, tetapi landasan utama dalam melahirkan bakat profesional berdaya saing di peringkat global. - KitaReporters
