Penduduk Rosilawati Yaakob menunjukkan cara membakar kuih kapit.

Siswi dari Somalia, Yaman, Chad dan Sudan mempelajari cara menganyam ketupat.

Aidilfitri bakal menjelang beberapa hari lagi setelah umat Islam berpuasa sebulan pada bulan Ramadan.

Sempena menyambut Syawal pihak Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) telah mengatur program bagi pelajar antarabangsa khususnya mendalami dan mempelajari cara membakar kuih kapit dan menganyam ketupat.

Rektornya Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, peluang yang diberikan ini diharap memberi gambaran dan perkongsian budaya dengan penduduk Kampung Warna-Warni di Kuala Perlis ini.

Katanya, kedudukan kampus berdekatan kampung ini dan hubungan dengan penduduk juga memudahkan program ini diatur.


Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

"Saya yakin 150 pelajar antarabangsa yang tidak pulang untuk berhari raya bersama keluarga mereka akan turut merasakan kemeriahan Aidilfitri dengan program yang diaturkan ini,” ujarnya.

Sambung beliau, pihak KUIPs juga menyediakan jamuan raya kepada mereka selepas solat Aidilfitri di kedua-dua surau di kampus Kuala Perlis dan Pauh nanti.


Amgad (kanan) pelajar Yaman bersama Sediqi Sediqullah dari Afghanistan mengambil peluang untuk bakar kuih kapit.


Sementara itu beberapa pelajar antarabangsa yang ditemui gembira dan mengucapkan terima kasih kepada KUIPs kerana telah mengatur program ini.

Amgad Nabil dari Yaman yang ditemui berkata, peluang yang diberikan untuk membakar kuih kapit dan menganyam ketupat bersama rakan-rakan lain sesungguhnya memberi pengalaman baharu kepada mereka.

'Pastinya kenangan manis pada Aidilfitri ini akan dijadikan memori hidup saya ketika menyambung pengajian di sini," ujarnya dalam hantaran whatsApp kepada pihak KUIPs.


Sediqi Sediqullah (kanan) bersama rakan-rakan tidak melepaskan peluang untuk membakar kuih kapit.

Manakala Sediqi Sediqullah dari Afghanistan pula yang ditemui amat gembira kerana walaupun pada awal Ramadan terasa suasana Aidilfitri di perantauan namun dengan program yang diaturkan ini memberikan kegembiraan kepada mereka yang tidak pulang untuk berhari raya pada tahun ini (2024).

"Pemakluman rektor mengenai jamuan raya juga pastinya Aidilfitri kali ini memberi kegembiraan kepada bukan sahaja pelajar antarabangsa malah tempatan yang tidak pulang beraya," sambungnya lagi.

Bagi Badr Aseel dari Yaman,beliau seronok diberikan peluang membakar kuih kapit bersama-sama rakan dari Somalia, Chad dan Sudan yang merupakan satu pengalaman baharu yang dipelajarinya daripada Rosilawati Yaakob, penduduk Kampung Hujung Tanjung. - KitaReporters



Azlina Shafie, 44, (kiri) sedang menunjukkan cara menganyam ketupat.

23
19
0
22
0

Copy Link: