Pasukan debat dari Universiti Malaya (UM) kiri dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kanan 


SEKUMPULAN pelajar Pusat Asasi STEM dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memahat sejarah selepas melangkah ke peringkat akhir dan muncul sebagai Naib Juara buat julung kali sepanjang penubuhannya. 

Sebanyak 44 pasukan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dari 13 institut pengajian tinggi (IPT) dan matrikulasi seluruh negara, telah bersaing merebut piala pusingan Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam 2023.

Pertandingan tersebut berlangsung di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada 18 dan 19 Februari 2023 lalu, secara bersemuka bagi pusingan separuh akhir dan akhir.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertandingan debat

Pasukan debat dari UMT


Pusingan akhir kategori bahasa Inggeris memperlihat saingan sengit antara dua pasukan dari Universiti Malaya A dan Universiti Malaysia Terengganu. 

Dengan usul bertajuk 'This House Believes That Parents Should Raise Their Children to Prioritise Collectivism over Individualism', Universiti Malaya A diumumkan sebagai Johan Pertandingan Debat Inter Asasi UA 2023. 

Meskipun UMT dinobat Naib Juara, kemenangan ini adalah cukup besar dan bermakna bagi pendebat utama UMT, Muhammad Haziq Irfan Azman, Muhammad Adam Kamarul Azman, Muhammad Aiman Syauqi Mohamad Zaini Dan Muhammad Hazeezur Abdul Rauf.  

"Kemenangan tersebut adalah satu kejayaan yang istimewa bagi kami, namun pengalaman dan perjalanan kami untuk sampai pada tahap ini adalah jauh lebih berharga,” kata Muhammad Haziq Irfan mewakili rakan debatnya yang lain. 


Pasukan debat dari UMT bersama piala pusingan


Pertandingan Debat Inter Asasi Universiti Awam adalah acara tahunan anjuran Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam yang menghimpunkan barisan pendebat yang merupakan pelajar Asasi dan Matrikulasi. 

Ia mula diperkenalkan pada tahun 2020 menggunakan format debat ala Parlimen dengan objektif utamanya untuk mengetengahkan bakat, mengasah kemahiran pengucapan awam dan seni orator dalam kalangan pelajar asasi/matrikulasi. 

Sementara itu, Pengarah Majlis Asasi Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam, Prof. Madya Dr. Laili  Che Rose, juga merupakan Pengarah di Pusat Asasi STEM, UMT berkata pertandingan debat yang sudah memasuki edisi ketiga itu dapat membudayakan amalan berfikir secara kritis dan analitikal dalam kalangan pelajar dan berharap agar penganjuran ini akan diteruskan pada masa akan datang. - KitaReporters


Wajah kegembiraan dari pasukan debat UMT selepas diumumkan muncul naib johan pertandingan debat

15
11
1
19
0

Copy Link: