SERAMAI sembilan atlet Olimpik universiti atau U-Olimpian menjadi kebanggaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) apabila akan turut mengibarkan cabaran negara pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun bermula 23 Julai 2021 ini.

Malah, prospek pingat emas turut disandarkan kepada salah seorang daripada mereka dengan sukan terjun yang diwakili Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee dilihat berpotensi merealisasikan impian itu.

Selain tiga atlet terjun itu, enam lagi U-Olimpian terdiri daripada Khairul Nizam Mohd Affendy (pelayaran), Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik), Syaqiera Mashayikh (memanah), Welson Sim Wee Sheng (renang), Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran) dan Azreen Nabila Alias (olahraga).


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Sukan Olimpik

Lima daripada sembilan atlet IPT yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Olimpik, Tokyo. Dari kiri- Farah Ann, Wendy Ng, Khairul Nizam, Nur Dhabitah dan Mun Yee. 


Menurut Ketua Unit Sukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)Dr Pekan Ramli, pemilihan sembilan atlet itu adalah suatu pencapaian yang membanggakan bagi warga universiti.

“Ini adalah penyertaan paling ramai atlet dari universiti dalam Sukan Olimpik, sekali gus mencapai sasaran kami mahu menyumbang 30 peratus daripada jumlah keseluruhan atlet yang mewakili negara ke temasya itu.

“Ia menepati matlamat Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang diperkenalkan pada 2009 yang mana mahu menjadikan universiti sebagai pemangkin pembangunan sukan negara.


Dr Pekan Ramli, Ketua Unit Sukan KPT.



“Ia sekali gus menyangkal tangkapan bahawa universiti sebagai ‘kubur’ kepada atlet berpotensi kerana melalui tujuh teras utama dalam DPSIPT, antara yang ditekankan adalah selain pembangunan akademik, kecemerlangan dalam sukan juga menjadi keutamaan.

“Malah, kami yakin, selain peranan dimainkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), pihak universiti turut membantu memberi nilai tambah kepada pembangunan serta peningkatan prestasi atlet melalui program yang kami laksanakan.

“Pemilihan sembilan atlet ini ke Olimpik membuktikan kejayaan program kami dan IPT sangat berbangga dengan pemilihan mereka,” kata Dr Pekan.


Pelari 100m, Azreen Nabila akan beraksi buat pertama kali di Sukan Olimpik.


Mengenai sasaran diletakkan ke atas atlet-atlet IPT yang akan bertanding di temasya sukan terbesar dunia itu, Dr Pekan mengakui ia lebih berupa pendedahan kepada kebanyakan daripada mereka.

“Kita kena berpijak di bumi nyata iaitu taraf atlet kita belum mencapai tahap Olimpik namun tidak bermakna mereka ke sana sekadar untuk melengkapkan penyertaan sebaliknya akan memberikan yang terbaik sambil mengutip sebanyak mungkin pengalaman bersaing dengan atlet-atlet bertaraf dunia,” katanya.

Begitu pun menurut Dr Pekan, harapan boleh diletakkan ke atas sukan terjun yang sudah membuktikan kemampuan apabila memenangi pingat gangsa dan perak melalui Pandelela Rinong pada temasya Olimpik 2012 dan 2016 lalu.

“Pandelala adalah antara atlet kebanggaan kami kerana semasa memenangi pingat perak pada 2016 lalu, dia adalah wakil IPT dalam skuad negara tapi kali ini dia adalah siswazah kerana sudah menamatkan pengajian.


Gandingan Pandelela-Mun Yee diharap dapat membawa pulang pingat emas pada temasya Olimpik kali ini.


“Begitu pun, kami berharap salah seorang daripada atlet terjun kami, Mun Yee, Dhabitah atau Wendy akan dipilih bergandingan dengan Pandelela dalam kategori 10m platform seirama dan berharap mereka mencipta sejarah memenangi emas Olimpik,” ujarnya.

Menurut Dr Pekan, walaupun tidak dapat disangkal China kerap mendominasi acara terjun namun persekitaran Olimpik kali ini yang diselubungi isu Covid-19, mungkin dapat membantu pencapaian Pandelela dan rakan-rakannya.

“Di atas kertas, atlet China memang pilihan kerana secara tradisi negara itu memang ‘kilang’ melahirkan penerjun-penerjun bertaraf dunia.

“Kita dapat lihat pada setiap kejohanan, ada saja nama-nama baru mereka tonjolkan sedangkan kita masih bergantung pada atlet seperti Mun Yee yang sudah lima kali menyertai Olimpik.

“Tapi, faktor ‘tuah’ tidak boleh kita tolak kerana dalam keadaan (Covid) sekarang, pelbagai perkara tidak terduga boleh berlaku pada hari pertandingan. Sekurang-kurangnya sekarang, faktor tekanan sudah tidak timbul kerana pertandingan akan berlangsung tanpa penonton,” kata Dr Pekan.

Seramai 30 atlet bakal mengibar cabaran negara dengan basikal, badminton dan terjun menjadi sasaran pingat sambil mengharapkan pingat emas pertama bagi menamatkan penantian. - KitaReporters


Ratu gimnas negara, Farah Ann antara atlet IPT yang bakal beraksi di Sukan Olimpik, Tokyo. - Kredit foto: MSN


Senarai atlet ke Sukan Olimpik 2020, Tokyo:

Memanah: Individu lelaki: Khairul Anuar Mohamad, Individu wanita: Syaqiera Mashayikh. 

Olahraga: Lompat tinggi: Lee Hup Wei, 100m: Azreen Nabila Alias. 

Badminton: Perseorangan lelaki: Lee Zii Jia, Perseorangan wanita: Soniia Cheah, Beregu lelaki: Aaron Chia- Soh Wooi Yik, Beregu wanita: Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, Beregu campuran: Chan Peng Soon-Goh Liu Ying

Berbasikal: Keirin lelaki / Pecut lelaki: Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Shahrom. 

Terjun: 3m papan anjal individu wanita: Nur Dhabitah Sabdri, Wendy Ng Yan Yee, 10m platform individu wanita: Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, 10m platform seirama wanita: Pandelela Rinong / Leong Mun Yee. 

Golf: Individu lelaki: Gavin Green, Individu wanita: Kelly Tan. 

Gimnastik: All round wanita: Farah Ann Abdul HadiAll round lelaki: Jeremiah Loo Phay Xing. 

Pelayaran: Laser lelaki: Khairulnizam Mohd AffendyLaser radial wanita: Nur Shazrin Mohd LatifInternational 470 wanita: Nuraisyah Jamil, Juni Karimah Noor Jamali. 

Menembak: 50m rifle wanita 3 position: Suryani Mohamed Taibi. 

Renang: 200m dan 400m gaya bebas lelaki: Welson Sim Wee Sheng100m dan 200m kuak dada wanita: Phee Jing En. 


Syaqiera Mashayikh membawa cabaran acara memanah. 

2
1
0
0
0

Copy Link: