Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) melakar satu lagi detik bersejarah dalam landskap pendidikan negara apabila dimasyhurkan sebagai sebuah universiti penuh bersempena Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-16 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 4 April 2026 bersamaan 16 Syawal 1447 Hijrah.


Sebahagian graduan dan ahli keluarga memenuhi Dewan Merdeka, WTCKL sempena Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-16 Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna.


Pelajar berarak masuk dengan penuh tertib pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen itu.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan yang turut menyampaikan ucapan sulung bersempena pemasyhuran institusi berkenaan.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa peranan universiti tidak hanya terhad kepada penyampaian ilmu, sebaliknya merangkumi fungsi yang lebih luas sebagai institusi yang membentuk pemikiran, nilai dan jati diri masyarakat.

Menurut beliau, universiti perlu menjadi medan penghasilan modal insan yang seimbang dari segi intelektual, sahsiah dan tanggungjawab sosial, selaras dengan keperluan semasa negara.

“Universiti adalah pusat kecemerlangan ilmu yang bukan sahaja melahirkan graduan berpengetahuan, tetapi juga insan berintegriti yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan kepimpinan, pensyarah dan seluruh warga UniMAIWP atas komitmen berterusan dalam memperkasa institusi tersebut sehingga mencapai tahap yang membanggakan.

Pada masa sama, beliau menzahirkan tahniah kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebagai peneraju utama dalam penubuhan UniMAIWP, sekali gus membuktikan kesungguhan dalam memartabatkan pendidikan tinggi berteraskan nilai Islam di Malaysia.


Ketibaan tetamu kenamaan diiringi barisan petugas pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-16.


Senator Dr Zulkifli Hasan menyampaikan watikah pemasyhuran Universiti Antarabangsa MAIWP (UniMAIWP) sebagai universiti penuh pada Majlis Pemasyhuran dan Konvokesyen Ke-16 di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.

Majlis konvokesyen tersebut turut meraikan para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing masing, dengan penekanan diberikan terhadap peranan ibu bapa sebagai tonggak utama kejayaan mereka.

Suasana penuh bermakna itu turut mengimbau kenangan beliau sewaktu berkhidmat di institusi pengajian tinggi, selain menzahirkan rasa bangga melihat kejayaan para graduan diraikan bersama keluarga tersayang.

Pemasyhuran UniMAIWP sebagai universiti penuh dilihat sebagai satu lonjakan signifikan dalam usaha memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara, khususnya dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak mulia dan berdaya saing.

Langkah ini juga selari dengan aspirasi untuk memastikan pendidikan tinggi terus menjadi pemangkin kepada pembangunan masyarakat serta kesejahteraan negara secara menyeluruh.

Keseluruhannya, majlis tersebut bukan sahaja mencerminkan kejayaan institusi, malah memperkukuh komitmen berterusan dalam memastikan pendidikan tinggi Islam terus berkembang dan relevan dalam menghadapi cabaran masa depan.


Tenaga akademik, gaduan dan tetamu memeriahkan detik bersejarah Majlis Konvokesyen Ke-16 UniMAIWP di WTCKL, Kuala Lumpur.

 

12
16
0
7
0

Copy Link: