Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) buat julung kalinya menganjurkan Seminar Perkongsian Amalan Terbaik Pengurusan Risiko Universiti Awam 2023 dengan penyertaan seramai 140 orang peserta dari 20 universiti awam dan swasta yang terdiri daripada Pengarah dan Pegawai Pengurusan Risiko bertempat di Hotel Everly, Putrajaya. 

Antara universiti yang terlibat adalah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur dan Malaysian Productivity Corporation (MPC). 



Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor dalam ucapannya berkata, peranan pengurusan risiko amat penting dalam pengurusan universiti kerana sebelum merancang polisi dan strategi, aspek kemampuan dan tahap-tahap kesanggupan dan kadar untuk menerima risiko seperti mengurangkan kebarangkalian, mengurangkan kepentingan, memindah risiko, mengelakkan risiko antara perkara yang perlu difahami semua pihak di universiti.

“Pengurusan Risiko merupakan aspek yang penting dalam membantu Pengurusan Universiti dan organisasi membuat perancangan terutama berkaitan dengan perancangan strategik organisasi, pengurusan projek, dan pengurusan operasi dalam memastikan segala tindakan yang dilaksanakan dapat mengurangkan aspek kesilapan dalam membuat keputusan, kerugian kewangan dan harta benda serta membantu memastikan kecekapan dalam membuat penilaian risiko," katanya lagi.



Sementara itu, Mohd Asri Husain, Pengarah Pusat Pematuhan Syariah, Integriti, Pengurusan Risiko dan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SCIROSH) USIM berkata, antara objektif utama penganjuran seminar ini adalah bagi mengenal pasti isu dan cabaran dalam Pengurusan Risiko di universiti, serta untuk mendapatkan solusi dan strategi bagi memperkukuh peranan Pusat Pengurusan Risiko di Universiti.

Seminar yang berlangsung pada 28 hingga 29 Ogos 2023 telah dirasmikan oleh Profesor Dato' Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Toriman, Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam yang juga Naib Canselor UKM.

Pada majlis yang sama turut diadakan sesi penyerahan surat penubuhan Majlis Pengurusan Risiko Universiti Awam oleh Shahrul Nizam Ahmad, Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, UUM selaku Pengerusi Jawatankuasa Penaja Majlis Pengurusan Risiko Universiti Awam kepada Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam. - KitaReporters/USIM


 

11
12
0
12
0

Copy Link: