Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian peringkat antarabangsa dengan terus memperkasa keunikan Malaysia ke persada global.

PBS UUM diterajui Asmawiza Hussin selaku Pengarah PBS yang turut dibantu oleh komuniti mahasiswa seni yang kini diketuai Mohamad Azri Abdullah terus mengorak langkah memperkasa jaringan kolaborasi yang lebih luas mempromosikan keunikan seni dan budaya Malaysia pada peringkat yang lebih tinggi.



Terdahulunya, PBS UUM berjaya merangkul kejayaan dalam Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle Varsity Carnival dan International Folk Aerodance melalui Kelab Tarian Bidasari dengan penglibatan negara Indonesia, Thailand, Filipina, Singapura, India, Pakistan, Uzbekistan, China dan Jordan. 

Kejayaan ini turut diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila Kelab Tarian Bidasari menerima Penghargaan Khas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi dalam Anugerah Tokoh Siswa 2022 baru-baru ini. 



Dalam pada itu, PBS UUM berharap agar Karnival Kebudayaan, Kesenian dan Keusahawanan (3K) kali ini terus disokong oleh masyarakat kerana mengangkat ketamadunan pelbagai bangsa melalui pertandingan, forum, perkhemahan budaya, perkongsian ilmu keusahawanan terkini kepada golongan belia dan beliawanis di negeri Kedah.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, penglibatan masyarakat dalam penganjuran Karnival 3K ini amat penting bagi meningkatkan jaringan kolaborasi antara berlainan bangsa kerana dapat mengeratkan perpaduan yang lebih utuh melalui seni budaya dan keusahawanan. 

“Mahasiswa perlu meneroka cabang ilmu pengetahuan yang luas, kemahiran dan pengalaman sepanjang berada di universiti agar menjadi graduan buruan majikan apabila melangkah ke alam pekerjaan kerana mempunyai kebolehpasaran yang tinggi dalam pelbagai aspek termasuklah kualiti diri yang cemerlang, potensi daya saing, daya kemampuan berfikir aras tinggi berteraskan inovasi serta mempunyai nilai yang kukuh dalam apa jua bidang yang diceburi,” katanya.



Sementara itu, menurut Asmawiza Hussin selaku Pengarah PBS UUM, Karnival 3K bukan sekadar hiburan semata-mata malahan membuka peluang yang luas untuk pelajar melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan perniagaan serta menonjolkan bakat seni yang kreatif dan inovatif. 

“Sebagai sebuah pusat kebudayaan dan kesenian yang memperkasa agenda pemerkasaan mahasiswa, karnival 3K ini dianjurkan setiap tahun meraikan keunikan budaya di Malaysia agar masyarakat lebih memahami peranan seni adalah mewujudkan sebuah komuniti masyarakat berbilang kaum yang menghargai ketamadunan nilai budaya di Malaysia.

“Selain itu, Karnival 3K ini juga menyediakan platform profesional dalam bidang penyiaran melalui Youth Broadcast Generation Star Award (YBEST) yang diterajui Kelab Penyiaran bersama alumni UUM yang berada di industri penyiaran serta melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh Malaysia dan diyakini mampu membina komuniti pelajar yang serba boleh," ujar Asmawiza.



Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Karnival 3K 2023 ini di Dataran Budaya Pusat Budaya dan Seni Universiti Utara Malaysia ini pada 10 hingga 15 Mei 2023 bermula jam 09:00 pagi hingga 10:00 malam. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
16
0
15
0

Copy Link: