Pasaran kerjaya sememangnya sangat kompetitif, baik bagi mereka yang sedang mencari kerja, mahupun pihak organisasi dan agensi pekerjaan. Menurut LinkedIn, pencari kerja menyelidik reputasi sesebuah organisasi sebelum permohononan pekerjaan. 

Sehubungan itu, University of Nottingham Malaysia (UNM) baru-baru ini menjalankan Tinjau Selidik Pelajar UNM 2023 untuk memupuk persefahaman antara pencari kerja dan majikan dengan memahami persepsi dan keutamaan pasaran kerjaya hari ini.

Profesor Madya Pengurusan dan Keusahawanan UNM, dan Ketua Bahagian Psikologi Organisasi dan Gunaan di Fakulti Sains Sosial UNM, Dr. Michael Mustafa berkata, "Pekerjaan yang memberikan tugasan berulang dan tidak merangsangkan minda tidak selari dengan perkembangan alaf baru. 

"Bakat-bakat generasi baharu inginkan pekerjaan yang membawa cabaran dan memberikan autonomi untuk menyerlahkan kreativiti dan keupayaan untuk membina jaringan. 

"Kami juga melihat tenaga kerja mencari syarikat yang prihatin dari segi sosial dan juga kerjaya yang mencetus kesan positif."


Dr. Michael Mustafa


Tempoh 'gap year' masih agak popular dalam kalangan graduan

Tinjau selidik ini pertama sekali mengkaji ketersediaan graduan untuk menyertai pasaran kerjaya selepas tamat pengajian. 

Seramai 50.8% daripada responden berkata mereka tidak memerlukan selang masa atau tempoh ‘gap year’ yang dirancang, manakala 49.2% responden berkata mereka bercadang untuk berehat. 

Daripada golongan yang mahu berehat, 39.7% berkata mereka ingin mengambil masa antara satu hingga dua bulan, manakala 34.5% memilih tempoh yang lebih lama antara tiga hingga enam bulan. 

Antara sebab mengambil tempoh ‘gap year’ yang dikongsi para responden termasuk ingin meluangkan masa bersama keluarga, masa untuk muhasabah diri, dan masa untuk merancang laluan kerjaya.

Kaedah mencari kerja utama dalam kalangan graduan baharu

Dalam soal mencari pekerjaan, responden berkata pilihan utama bagi kaedah mencari kerja mereka ialah LinkedIn (76.1%), diikuti laman kerjaya (contohnya, Hiredly) (69.9%). 

Kaedah alternatif lain termasuk cadangan daripada rakan atau keluarga (64.6%), khidmat nasihat kerjaya universiti (48.7%) dan pameran kerjaya (43.4%). Di sini, responden dibenarkan memilih lebih daripada satu pilihan.

Keselamatan, kestabilan dan kemajuan kerjaya menarik bagi bakat baharu

Apabila ditanya mengenai organisasi pilihan mereka, 51.7% daripada responden memilih syarikat multinasional (MNC), diikuti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) (16.9%). 

Antara pilihan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) (11%), syarikat startup (8%), menubuhkan perniagaan mereka sendiri (6.8%), dan pekerjaan gig ekonomi (3.4%), manakala selebihnya tidak pasti. 

Responden menyatakan bahawa antara daya tarikan MNC termasuk tahap piawaian tinggi yang wujud dalam syarikat terkemuka, faedah yang menarik, gaji yang lebih tinggi, peluang untuk memanfaatkan sumber bakat terpelbagai dalam organisasi dan kemungkinan naik pangkat dalam rangkaian syarikat tersebut.



Melakukan kerja sampingan semakin penting bagi graduan baharu

Kerja sampingan memang sudah lama wujud sebelum ini tetapi semakin giat diamalkan seiring perkembangan ekonomi gig, dan keperluan menyokong pendapatan bulanan yang semakin meningkat. 

Seramai 57.6% daripada responden dalam tinjau selidik UNM berkata mereka merasakan adalah penting untuk melakukan kerja sampingan. 

Selain menjana pendapatan tambahan untuk perbelanjaan seperti melancong dan menyara keluarga, responden juga berpendapat kerja sampingan memberikan keselamatan kewangan tambahan sekiranya berlaku kecemasan seperti diberhentikan kerja, serta memberi peluang untuk menimba pengalaman dan menguasai kemahiran baru.

Kebimbangan kerjaya pertama

Sebilangan besar responden (90%) menekankan budaya syarikat sebagai kebimbangan utama ketika mula menceburi pekerjaan pertama mereka. 

Lebih khusus lagi, kebimbangan budaya kerja toksik dan rakan sekerja yang mempunyai ‘geng’ sendiri adalah aspek yang dianggap oleh graduan baharu sebagai tanda amaran yang boleh menentukan berapa lama mereka akan kekal di sesebuah syarikat. 

Kebimbangan lain termasuk peluang pertumbuhan yang terhad dari segi kemajuan kerjaya dan gaji (70%), sekatan terhadap kreativiti dan fleksibiliti oleh penyelia (60%), keraguan tentang keserasian kemahiran graduan dengan tugas yang diberikan (50%) dan akhirnya tuntutan kerja yang tinggi (30%). Responden dibenarkan memilih lebih daripada satu pilihan.

Cara untuk mengekalkan bakat pada hari ini

"Bagi meningkatkan keupayaan mengekalkan bakat dalam organisasi, majikan boleh memberikan tanggungjawab atau peranan kepimpinan lebih besar, melaksanakan penggiliran kerja serta melibatkan bakat muda dalam projek-projek menarik. 

"Kita kini berada dalam zaman yang menarik dengan pengenalan kaedah kerja hibrid yang memberikan fleksibiliti untuk menyusun amaun dan waktu kerja.

"Cabaran sebenar adalah bagi majikan dan tenaga kerja untuk bersama-sama mewujudkan tempat kerja yang ideal dengan mendapatkan input yang lebih komprehensif daripada kedua-dua Generasi Z (lahir antara 1997 dan 2012) dan Generasi Alpha (lahir antara 2010 dan 2025)," jelas Dr Mustafa.

Apabila ditanya tentang kemungkinan untuk terus kekal dalam pekerjaan atau organisasi mereka jika kebimbangan utama mereka berjaya ditangani majikan, 54.2% daripada responden berkata mereka 'berkemungkinan besar akan kekal lebih daripada dua tahun'. 

Responden berkata mereka gembira untuk kekal dalam pekerjaan semasa terutama jika mereka berpeluang memajukan kerjaya dan diberi kenaikan gaji yang munasabah. 

Responden yang berkata mereka masih 'berkemungkinan besar akan meninggalkan organisasi kurang daripada atau selepas dua tahun' memberikan sebab ingin mencari peluang yang lebih baik untuk mengembangkan kerjaya, berpindah, persepsi kenaikan gaji yang diterima daripada pekerjaan baharu, dan minat untuk merasa persekitaran kerja yang berbeza.


Tinjau selidik oleh UNM membabitkan 100 responden yang terdiri daripada pelajar ijazah (60%), asasi (foundation) atau diploma (34%) dan pascasiswazah (6%). 

Responden merangkumi pelajar yang berumur antara 17 tahun hingga 24 tahun dan merupakan gabungan antara pelajar tempatan dan antarabangsa.


12
9
0
9
0

Copy Link: