Oleh NOORULLAILY SAFFAIN dan MOHD ZUL HELMI ROZAINI

Alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT)


Semangat kebersamaan dan keprihatinan warga alumni Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dizahirkan menerusi penganjuran program Jalinan Kasih Ramadan: Iftar Amal Alumni UMT 2.0 yang menghimpunkan komuniti alumni UMT bagi menyantuni anak-anak yatim dan miskin di Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Darul Akhyar.



Program anjuran Pusat Alumni UMT itu melibatkan seramai 86 orang penghuni rumah kebajikan, selain ahli pengurusan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Persatuan Alumni UMT, penyelaras alumni fakulti, alumni staf serta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Pengetua pertubuhan berkenaan, Ahmad Irsyad Mustaqim Zamri menzahirkan penghargaan atas kesudian warga alumni UMT yang turun padang menyantuni anak-anak di bawah jagaan mereka. 

Menurut beliau, “kami amat berterima kasih kepada pihak Universiti Malaysia Terengganu khususnya para alumni atas keprihatinan yang ditunjukkan sejak tahun lalu (2025). 

"Sumbangan ini amat bermakna buat anak-anak di Darul Akhyar dan akan dimanfaatkan bagi menampung keperluan harian mereka termasuk makanan, kelengkapan pembelajaran serta kebajikan asas,” katanya.



Sementara itu, Pengarah Pusat Alumni UMT, Prof. Madya ChM Dr. Mohd Zul Helmi Rozaini, berkata program seumpama ini bukan sekadar aktiviti kebajikan bermusim, tetapi menjadi platform memperkukuh jaringan antara alumni dan universiti.

“Alumni UMT bukan sahaja cemerlang dalam bidang profesional masing-masing, malah terus komited menyumbang tenaga dan rezeki demi kesejahteraan komuniti,” katanya.

Program turut diserikan dengan slot motivasi oleh Wan Nor Ahmad Syaifuddin Wan Norazmi, Pegawai Psikologi di Pejabat Pendaftar merangkap alumni Sarjana Muda Kaunseling UMT (2019). 

Beliau menekankan kepentingan pembinaan sahsiah, kekuatan jati diri serta penetapan matlamat hidup sejak usia muda.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain, yang menyempurnakan sesi penyampaian sumbangan berjumlah RM2,610 hasil kutipan dan derma ikhlas daripada alumni serta staf universiti.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu menyokong kebajikan serta keperluan harian anak-anak di pertubuhan berkenaan. 



Program diakhiri dengan sesi ramah mesra antara pihak pengurusan universiti, alumni dan penghuni rumah kebajikan sebelum semua hadirin menikmati juadah berbuka puasa dalam suasana penuh harmoni dan kesyukuran.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan UMT dalam memperkasa hubungan alumni sebagai rakan strategik universiti, sekali gus menyemai nilai ihsan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warganya. - KitaReporters


14
12
0
13
0

Copy Link: