Syabas SM Agama Nilai! Sekolah Agama Terbaik Keseluruhan Negeri Sembilan! Sekolah angkat USIM!
Published byUniversiti Sains Islam Malaysia (USIM) menzahirkan rasa bangga apabila sekolah angkatnya, Sekolah Menengah Agama Nilai (SMAN), dinobatkan sebagai Sekolah Agama Terbaik Negeri Sembilan (keseluruhan) untuk keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2025.

Sekolah dalam kategori Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)/Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) itu yang mencatat Gred Purata Sekolah (GPS) 1.04 turut tersenarai antara sekolah agama terbaik pada peringkat kebangsaan, sekali gus mengangkat kecemerlangan institusi pendidikan agama di negeri itu.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihak sekolah dalam memastikan kecemerlangan pelajar secara menyeluruh meliputi aspek akademik, sahsiah dan pembangunan kepimpinan, selaras dengan aspirasi pendidikan Islam yang holistik dan bersepadu.
Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, kejayaan yang dicapai oleh SMAN turut memperlihat keberkesanan kerjasama strategik di antara universiti dan sekolah melalui inisiatif Sekolah Angkat USIM, yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekosistem pendidikan dan pembangunan kapasiti warga sekolah.

Majlis Penyampaian Watikah Penghargaan daripada Dr Hammad Farhi bagi pihak USIM kepada SMAN pada 3 April 2026.
Dalam satu majlis ringkas di SMAN pada 3 April 2026 lalu, beliau telah memyampaikan watikah penghargaan kepada pihak SMAN dengan diwakili Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri (PLiMJI) USIM, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi kepada Pengetua SMAN, Mohammad Noh Sujud.
Menurut beliau, “USIM amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan bahawa sinergi antara universiti dan sekolah mampu memberi impak signifikan kepada kecemerlangan pendidikan serta pembangunan generasi masa depan yang berdaya saing dan berakhlak mulia,”.
Kerjasama tersebut merangkumi menaik taraf pembangunan infra dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran, program bimbingan akademik, pemindahan ilmu oleh ahli akademik dan pentadbir universiti serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar.
Melalui program Sekolah Angkat, USIM turut melaksanakan pelbagai inisiatif intervensi pendidikan termasuk bimbingan akademik, program motivasi pelajar, perkongsian kepakaran dalam kalangan kakitangan akademik dan pentadbiran universiti serta aktiviti pemerkasaan kepimpinan pelajar.

Majlis Penyerahan Watikah Sekolah Angkat Madani 2025 oleh Naib Canselor USIM kepada SMAN pada 10 September 2025.
Kejayaan ini bukan sahaja memperkukuhkan reputasi SMAN sebagai institusi pendidikan agama yang cemerlang, malah menonjolkan peranan USIM sebagai rakan strategik dalam memperkasa kualiti pendidikan menengah melalui pendekatan libatsama komuniti yang berimpak tinggi.
USIM komited untuk terus memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan dan pelbagai sektor melalui inisiatif libatsama komuniti dan jaringan industri, selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang secara signifikan kepada pembangunan pendidikan, masyarakat dan negara. - KitaReporters/Kenyataan Media
