ATAS dasar kemanusiaan, kerajaan Malaysia mengambil inisiatif meringankan beban pelajar-pelajar Palestin di negara  ini dengan mengecualikan yuran pengajian di universiti.

Meskipun tidak mampu membantu menghantar pasukan menentang tentera aparteid Zionis, namun sokongan dan solidariti tersebut diyakini mampu mengurangkan beban pelajar-pelajar berkenaan.

Sehingga kini lebih 800 pelajar Palestin berada di bumi Malaysia yang bergelar mahasiswa kerana menyambung pengajian di universiti awam dan swasta di negara ini. 

Malah lebih 600 daripada itu adalah mahasiswa yang sedang menuntut di universiti awam negara ini. 



Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai solidarit terhadap mahasiswa Palestin, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bersedia untuk memberi pengecualian itu yang bermula serta merta sebagai tanda sokongan kerajaan Malaysia Madani bagi mengurangkan beban pelajar Palestin yang berdepan detik getir.

Ketika ini, KPT juga sedang mengadakan perbincangan dengan pihak universiti swasta untuk berbuat sedemikian.



“Sekarang ini terdapat lebih kurang 800 pelajar Palestin yang mana lebih 200 pelajar berada di universiti swasta dan selebihnya berada di universiti awam pada pelbagai peringkat pengajian.

“Saya boleh nyatakan bahawa kita sedang menimbang usaha untuk membantu mereka dalam masa setahun ini.

“Bagi universiti awam, kita bersedia melonggarkan syarat supaya mereka dikecualikan bayaran yuran selama setahun. Kita juga sedang berunding dengan pihak universiti swasta untuk memastikan pengecualian yuran kepada pelajar-pelajar ini,” kata Khaled.



KPT juga sedang mempertimbang pemberian elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar Palestin di universiti awam dan swasta.

“Kita juga mempertimbang untuk memberi elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar universiti awam dan universiti swasta (Palestin) dan kesemua ini  akan melibatkan kos kira-kira RM20 juta,” katanya.

Katanya lagi, maklumat lanjut berkaitan pengecualian yuran pengajian dan elaun bulanan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat. - KitaReporters


15
12
0
15
0

Copy Link: