Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Kebudayaan telah menganjurkan program seni bertajuk "Gema Palu Genderang" yang menampilkan gabungan unik antara keindahan puisi alam Melayu dan nilai kehidupan Islam. 

Persembahan yang memukau itu berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM pada 27 April 2024.

Turut hadir dalam acara tersebut adalah tetamu kehormat, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.



Dengan tema "Mengalun Puisi Alam Melayu dan Kehidupan", program ini mengintegrasikan elemen tradisional dan kontemporari, menjadikannya relevan dan bermakna kepada pelbagai lapisan masyarakat. 

Menampilkan lagu dan puisi ketuhanan, persembahan tersebut bukan sahaja dapat memperkaya jiwa tetapi juga mengangkat keindahan Islam.

Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, Naib Canselor dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada Pusat Kebudayaan USIM dengan daya usaha menyokong dan memberi ruang serta peluang berimpak tinggi kepada mahasiswa untuk menyerlahkan bakat khususnya dalam bidang berkaitan kesenian Islam serta meninggikan budaya dan warisan negara.

“Ini terbuki apabila Pusat Kebudayaan telah diiktiraf sebagai Pusat Kebudayaan Terbaik Universiti Awam oleh Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) dan juga satu-satunya Pusat Kebudayaan UA yang mempunyai lantikan 6 orang Karyawan Seni USIM yang berfungsi sebagai check & balance dalam memastikan program-program yang dilaksanakan setaraf dengan kehendak pasaran dan turut menjadi penghubung dengan pihak industri”, ujarnya lagi.



Penganjuran Gema Palu Genderang adalah untuk mengangkat nilai Islam dalam seni puisi, menginspirasi pembangunan nilai insani, serta mengubah persepsi negatif dalam Masyarakat terhadap seni. 

Melalui program ini, pelajar dan masyarakat diharap dapat lebih memahami dan menghayati 'Seni Berbudaya' yang selari dengan ajaran Islam.

Segmen pertama mengisahkan kehidupan insan dengan persembahan azan, syair kelahiran, serta lagu-lagu yang membawa kenangan manis sewaktu kecil.

Segmen seterusnya menyentuh peringkat kanak-kanak dengan persembahan Gurindam Raja Ali Haji, medley Ayuh Buai Kok Kek, dan lain-lain. Acara turut mempersembahkan qasidah, teromba, dan lagu-lagu yang menggambarkan perjuangan hidup dewasa.



Acara kemuncak adalah persembahan khas deklamasi puisi oleh Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang serta penampilan istimewa oleh kelab Seni Budaya USIM dan artis terkenal seperti Roslan Madun, Dato’ Nash, Hisyam Haris, dan kumpulan Kopratasa. 

Penyiar radio Negeri FM, Norlizahana Abdullah Sani dan tokoh budaya Negeri Sembilan, Dato’ Kemaru Ibrahim, turut hadir memeriahkan program ini. 

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Prof. Dato’ Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni); dan Md. Ishah Rahman, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM bersama kehadiran hampir 300 orang penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat menyaksikan kehebatan persembahan ini. - KitaReporters/USIM


12
15
0
10
0

Copy Link: