Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) di Bukit Siput, Segamat menjadi sekolah rendah pertama mengamalkan sistem pembayaran tanpa tunai di Johor.

Penulis merasa tertarik dengan jemputan sekolah agama ini apabila dimaklumkan sekolah ini menjadi sekolah rendah pertama di Johor yang mengamalkan sistem pembayaran tanpa tunai bagi jualan di dalam sekolah ini.


 


Pengenalan Sekolah Rendah Tanpa Tunai ini adalah bagi memberi pendedahan dan kemudahan kepada murid untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai di kantin dan koperasi sekolah.

Guru Besar SRAB, Mahzan Hassan ketika ditemui berkata, beliau mengakui era baharu kini iaitu era 'cashless' (tanpa tunai) menuntut pihak sekolah turut mengubah kaedah pembayaran sedia ada di kantin sekolah dan koperasi kepada pembayaran tanpa tunai.

"Program cashless diperkenal oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) ini amat tepat dan wajar diteruskan yang mana ia secara tidak langsung dapat memupuk sifat celik kewangan dalam kalangan murid. 

"Sebagai sekolah rendah rintis program ini di Johor, kami berbangga dan berbesar hati berkongsi pengalaman dengan sekolah-sekolah lain bagi perlaksanaan program ini," katanya ketika ditemui di SRAB, Bukit Siput pada awal Februari 2026 lalu. 

Program Sekolah Rendah Tanpa Tunai BSN yang mendapat kerjasama BSN ini juga telah mula dilaksanakan oleh BSN sejak Disember 2019 di luar kawasan sekolah. 

Seramai 460 pelajar SRAB diberi penerangan dan telah mula melaksanakannya berkaitan kelebihan Sekolah Rendah Tanpa Tunai BSN di sekolah bermula tahun 2026 ini.



Sementara itu, Pengarah BSN Negeri Johor, Mohamad Zulkarnain Ismail berkata, usaha ini akan dapat memperkasa kemahiran diri dan persekitaran pembelajaran pelajar-pelajar terutam untuk mendepani arus digitalisasi. 

"Selari dengan perkembangan teknologi digital, BSN turut bergerak seiring dalam mengukuhkan teknologi kami dengan meletakkan digital sebagai kekuatan teras. 

"Atas dasar itu, BSN melangkah ke hadapan dengan melaksanakan pelbagai inisiatif digital di sekolah-sekolah termasuklah Sekolah Rendah Tanpa Tunai. 

"Ini sekali gus membangunkan ekosistem kewangan yang inklusif dalam memastikan segenap lapisan masyarakat termasuk generasi muda bersama-sama menikmati kemakmuran digital. 

"BSN turut memberi kesedaran kepada murid dalam urusan hanya menggunakan kad akses pelajar era digitalisasi dan pengetahuan urusan harian di kantin dan koperasi," katanya pada majlis Pelancaran Sekolah Rendah Tanpa Tunai BSN di SRAB Bukit Siput, Segamat.



Hadir sama, Ketua Seksyen Pendidikan Kewangan BSN, Wan Rosnilawati Mohd Yaakub; Pengurus Pendepositan BSN Kawasan Muar dan Segamat, Azman Hashim; dan wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat. 

Bank Simpanan Nasional (BSN) melebarkan lagi komitmennya dalam memperkasa pendidikan kewangan ke arah digital dengan memperluas program Sekolah Tanpa Tunai di Johor sebagai hab terbaharu.



Bagi salah seorang pelajar SRAB, Aydan Qalish Abdul Hadi, 10, inisiatif yang dilaksanakan oleh BSN ini juga mampu memperkasa pendidikan kewangan kepada murid sekolah. 

"Program ini amat bagus kerana ia turut memudahkan urusan kami sebagai pelajar berbelanja secara tanpa tunai tanpa keciciran wang tunai. 

"Kami sebelum ini hanya lihat ibu dan bapa kami menggunakan kad 'paywave' semasa membuat pembayaran di pasar raya atau mengisi minyak, tetapi hari ini, kami mempunyai pengalaman sendiri menggunakan teknologi ini," kongsinya. - KitaReporters

 

12
15
0
10
0

Copy Link: