Oleh NUR FARIHAH MOHD FADULLAH SAHIMI

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Pendedahan terbaharu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tangkapan 36 penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi sejak 2021 sehingga Januari tahun 2026 ini nyata mengejutkan dan menggusarkan rakyat. 



Nilai rasuah yang dianggarkan mencecah RM22 juta bukan sekadar angka besar, tetapi ia memberi gambaran tentang kelemahan dalam sistem pengurusan amanah pada peringkat tertinggi. 

Lebih membimbangkan, kes-kes ini melibatkan institusi strategik negara seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (Mindef), yang sepatutnya menjadi benteng kepercayaan rakyat.

Persoalan yang timbul amat mudah untuk ditanya, tetapi berat untuk dijawab: Di manakah silapnya? Adakah sistem pengurusan yang lemah? Kurangnya audit dan pemantauan? 

Atau masalahnya lebih mendasar, tersimpan jauh di dalam diri manusia sendiri iaitu pada keadaan jiwa yang memandu setiap keputusan dan tindakan? 

Kejadian ini jelas membuktikan bahawa walaupun undang-undang lengkap dan peraturan diperketat, tiada sistem mampu menggantikan integriti yang teras pada nilai dalaman individu.

Hakikatnya, negara kita tidak pernah ketandusan peraturan. Kod etika terus diperhalusi, sistem perolehan diperkemas dan didigitalkan, audit dalaman serta luaran diperketat, manakala kursus integriti saban tahun dijadikan agenda wajib. 

Dari sudut dokumen dan prosedur, semuanya kelihatan tersusun dan lengkap. Namun realitinya, kes tetap berlaku dan yang lebih menyedihkan, ia melibatkan mereka yang berada di kedudukan tertinggi. 

Keadaan ini mengundang satu renungan yang lebih mendalam. Barangkali masalahnya bukan pada kurangnya peraturan, tetapi pada sesuatu yang lebih asas  iaitu keadaan jiwa manusia itu sendiri.

Kita sering mentakrifkan integriti sebagai keselarasan antara apa yang difikirkan, diperkata dan dilakukan. Takrif itu tidak salah. Namun ia hanya menggambarkan apa yang terlihat di permukaan. 

Akar kepada integriti sebenarnya tersembunyi dalam diri pada jiwa. Dalam Islam, jiwa atau nafs bukan unsur yang pasif. Ia sentiasa bergelut antara dorongan baik dan buruk. 

Dalam Surah Al-Syams ayat 7 hingga 10 dalam Al-Quran, Allah SWT menjelaskan bahawa jiwa diilhamkan dengan jalan kefasikan dan ketakwaan, dan beruntunglah mereka yang menyucikannya.



Ayat ini memberi isyarat bahawa manusia tidak gagal kerana kurang pintar atau kurang peluang, tetapi kerana gagal mengawal dan membersihkan jiwanya. Ulama menghuraikan bahawa ada jiwa yang cenderung kepada kejahatan (nafs ammarah) dan ada jiwa yang tenang serta tunduk kepada kebenaran (nafs mutmainnah). 

Bezanya bukan pada jawatan atau latar belakang, tetapi pada didikan dalaman. 

Seseorang yang melihat kuasa sebagai peluang mengaut keuntungan peribadi sedang dipandu oleh jiwa yang longgar kawalannya. 

Sebaliknya, mereka yang melihat jawatan sebagai amanah akan lebih berhati-hati dalam setiap keputusan, walaupun tiada siapa memerhati.

Di sinilah integriti diuji. Peraturan hanya berfungsi apabila ada penguatkuasaan. Kamera dan audit hanya berkesan apabila ada bukti. Tetapi jiwa yang sedar akan bertindak betul walaupun tiada saksi. 

Hakikatnya, rasuah berskala besar jarang bermula dengan jumlah yang besar. Ia bermula dengan kelonggaran kecil yang dianggap biasa seperti makan minum yang ditaja, hadiah sebagai “tanda persahabatan”, layanan istimewa yang kononnya sekadar adat.

Apabila hati mula membenarkan yang kecil, yang besar hanya menunggu masa.

Jiwa yang terpelihara akan melahirkan rasa takut kepada Tuhan, rasa malu untuk mengkhianati amanah dan rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap setiap keputusan yang dibuat. 

Tanpa tiga benteng ini, integriti mudah goyah walaupun dikelilingi pelbagai peraturan.



Dari KPI ke Nilai: Menyubur Jiwa Organisasi

Jika kita menerima bahawa puncanya terletak pada jiwa, maka usaha pembaikan juga perlu bermula di situ. 

Selama ini, penilaian prestasi dalam organisasi lebih banyak tertumpu pada angka sasaran dicapai atau tidak, projek siap mengikut jadual atau sebaliknya. Semua itu penting. Namun pembangunan dalaman jarang diukur atau diberi perhatian serius. 

Pembangunan rohani sering dianggap urusan peribadi, sedangkan hakikatnya ia memberi kesan langsung kepada cara seseorang mengurus amanah awam.

Sudah tiba masanya budaya organisasi tidak hanya bercakap tentang KPI fizikal, tetapi juga nilai. 

Bagi penjawat awam Muslim, usaha mendekatkan diri dengan al-Quran boleh menjadi antara mekanisme pembinaan jiwa. 

Sasaran pembacaan dan penghayatan al-Quran sebagai sebahagian daripada pembangunan diri bukan bertujuan menghukum atau memaksa, tetapi menyuburkan hubungan dengan sumber nilai yang menegaskan keadilan dan amanah.

Begitu juga dengan penghayatan solat. Solat yang difahami maknanya akan menanam rasa kehambaan dan kesedaran bahawa setiap tindakan akan dipersoal. 

Apabila hubungan dengan Tuhan diperkukuh, keputusan yang dibuat juga cenderung lebih berhati-hati. 

Namun semua cadangan ini tidak akan bermakna tanpa kepimpinan yang menunjukkan contoh. Integriti tidak boleh didelegasikan. Ia perlu dipamerkan. 

Jika pucuk pimpinan menunjukkan ketelusan dan ketegasan terhadap salah laku, mesejnya akan jelas hingga ke peringkat bawahan. Jika yang di atas longgar, sukar untuk mengharapkan yang di bawah kekal teguh.



Akhirnya, kita perlu jujur mengakui bahawa undang-undang hanyalah pagar. Pagar penting untuk menghalang pencerobohan, tetapi ia tidak mampu membentuk hati manusia. 

Integriti yang tulen lahir daripada jiwa yang sedar akan tanggungjawabnya, bukan sekadar takut kepada hukuman, tetapi takut mengkhianati amanah. 

Selagi pembangunan jiwa tidak dijadikan agenda utama dalam reformasi integriti, selagi itu kita akan terus berhadapan dengan episod yang sama. 

Kerana pada akhirnya, yang merosakkan sistem bukanlah ketiadaan peraturan, tetapi manusia yang gagal mengawal dirinya sendiri.

Akhir kata, integriti tidak terbina dengan dokumen semata-mata. Ia terbina apabila jiwa dididik untuk memilih yang benar, walaupun tiada siapa melihat.


Nur Farihah Mohd Fadullah Sahimi ialah Pegawai Integriti di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Artikel ini adalah pandangan penulis.


12
14
0
14
0

Copy Link: