Peperiksaan SPM adalah lalaun utama kepada pelajar untuk melanjut pengajian lebih tinggi dan asas untuk memasuki dunia pekerjaan. - Kredit foto: Utusan Malaysia


PEPERIKSAAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah penting kerana ia merupakan kunci kepada sambungan pendidikan yang lebih tinggi, malah peperiksaan berkenaan merupakan laluan utama dalam memasuki alam pekerjaan di negara ini.

Terbaharu, selari dengan aspirasi Kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berpendidikan, Kerajaan negeri Melaka menjadi peneraju apabila menawarkan pelajar tahfiz di negeri itu untuk menduduki SPM.

Lebih membanggakan apabila tawaran berkenaan diberikan secara percuma agar pelajar tahfiz di negeri itu berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.


Datuk Rahmad Mariman menunjukkan poster Fast Track SPM 2024 untuk pelajar tahfiz di Seri Negeri di Ayer Keroh, Melaka. - Kredit foto: Utusan Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kerajaan negeri menawarkan pengambilan SPM secara percuma di Maahad Tahfiz Bistari (MTB), Pulau Besar.

“Kita lihat sambutan pelajar untuk meneruskan pengajian ke bidang ini masih rendah mungkin disebabkan peringkat umur mereka belum sampai untuk menduduki SPM.

"Ini langkah awal yang diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan pelajar tahfiz dapat menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata, pelajar tahfiz di 116 institusi termasuk yang dimiliki pihak swasta dan berdaftar di Melaka turut berpeluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET). 

"Ini penting bagi memastikan mereka mendapat pendidikan sewajarnya," tambahnya, Bagaimanapun, kata beliau, minat pelajar tahfiz terhadap TVET sehingga kini masih berada pada tahap rendah.

Atas dasar itu, beliau menjelaskan pelbagai program akan diperluas lagi bagi memastikan kemenjadian pelajar-pelajar tahfiz ini dapat dibentuk dengan lebih baik.


Pelajar tahfiz di 116 institusi  di Melaka termasuk yang dimiliki pihak swasta dan berdaftar  turut berpeluang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang pendidikan latihan teknikal dan vokasional (TVET). - Kredit foto: mstar.com


Menurut Rahmad, pihaknya juga turut melaksanakan program tambahan dalam aspek pendidikan kemahiran melalui kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan kolej komuniti.

“Menerusi IPG kita mempelbagaikan program kokurikulum yang menyediakan latihan sukan, manakala bersama kolej komuniti pula kita telah melaksanakan kerjasama untuk menawarkan program latihan kemahiran seperti kurus pembuatan pastri, bakeri dan teknologi maklumat (IT),” katanya.

Semoga peluang  yang ditawar kerajaan negeri ini memberi ruang kepada pelajar-pelajar tahfiz untuk mempunyai kelayakan akademik selain memiliki kebolehan dalam menghafaz al-Quran, sekali gus lebih berjaya dalam duniawi. - KitaReporters


Gambar hiasan... Pelajar tahfiz perlu mempunyai kelayakan akademik selain keupayaan menghafaz 30 juzuk al-Quran bagi melayakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

13
13
0
10
0

Copy Link: