Prof Madya Dr H. Puji Isyanto menandatangani buku pelawat.

Universitas Buana Perjuangan (UBP) Karawang, Jawa Barat, Indonesia dijangka akan menghantar 100 pelajar Doktor Falsafah (PhD) ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 2024.

Wakil Rektor Bidang Kerjasama, Inovasi dan Publikasi Ilmiahnya, Prof Madya Dr H. Puji Isyanto berkata, pemilihan universiti yang diiktiraf sebagai universiti ke-95 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun pada Times Higher Education Young University Ranking 2023, sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam nombor satu terbaik di Malaysia dalam penarafan tersebut, pastinya menjadi keutamaan kenapa pensyarahnya perlu ke UUM. 

“Dalam pertemuan dan taklimat bersama delegasi saya yang lain dengan Naib Canselor Prof Dr Mohd Foad Sakdan, sudah cukup mempengaruhi kami untuk menyegerakan penghantaran calon-calon PhD kami ke sini,” sambung beliau lagi. 

Prof Dr Mohd Foad Sakdan bersama delegasi UBP Karawang.


Sementara itu Prof Dr Mohd Foad dalam pertemuan dengan delegasi UBP ini mengalu-alukan kehadiran mereka dan calon-calon pelajar Sarjana Muda, Sarjana dan PhD ke kampus di Sintok, Kedah ini.

Katanya sehingga kini universiti ini juga mempunyai seramai 900 pelajar dari Indonesia. 

“Dengan usia kami yang akan menjangkau 40 tahun pada 16 Februari 2024 dan UBP pula akan berusia 10 tahun pada 17 Oktober 2024, pastinya menjadikan kerjasama ini lebih bersejarah,” katanya.


Prof Dr Mohd Foad Sakdan (dua dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada delegasi UBP Karawang. 


Terdahulu Dr Mohd Foad mengalu-alukan kehadiran mereka ke kampus ini dan berharap kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, pertukaran pelajar dan pensyarah juga akan memberi kebaikan dan keuntungan kepada kedua-dua pihak nanti.

Turut hadir Dekan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan kerja Sosial (SAPSP), Prof Madya Dr Md Zawawi Abu Bakar. - KitaReporters


 

14
12
0
21
0

Copy Link: