Oleh: KHAIRUL ANUAR MUHAMAD NOH 

PASUKAN debat Kem Sungai Besi dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) menjuarai Pertandingan Debat Belia Antara Kolej Kediaman Institusi Pengajian Tinggi Malaysia 2022 (DELIA 2022) setelah berjaya menewaskan pasukan debat tuan rumah, Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) di Panggung Percubaan UPM di Serdang, Selangor.  

Kedua-dua pasukan membahaskan usul debat bertajuk ‘Sejahtera IPT: Jawapan Kepada Masalah Kesihatan Mental dalam Kalangan Mahasiswa’, di mana UPNM beraksi selaku pencadang pada pihak kerajaan sementara UPM beraksi selaku pembangkang. 

Pertandingan bertemakan Mahasiswa Belia Nadi Negara Perkasa itu berlangsung secara dalam talian pada peringkat awal, sebelum acara akhir dibuat secara fizikal pada 9 April 2022.   


Lagi


Juara debat, pasukan debat Kem Sungai Besi dari Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM).


Pasukan UPNM meraih hadiah piala, sijil dan wang tunai sebanyak RM1,000 termasuk memenangi kategori Pendebat Terbaik peringkat akhir, sementara pasukan debat UPM yang dibarisi semua pelajar perempuan berpuas hati dengan meraih piala, sijil dan wang tunai RM700.  

Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan telah disandang oleh Muhammad Danial Haikal Muhd Zamzur, manakala Anugerah Pendebat Terbaik peringkat akhir disandang oleh Ahmad Quurtubi Awwabin Azman, kedua-duanya dari UPNM

“Kami tidak pernah berhenti berlatih dan sentiasa konsisten dalam disiplin latihan.  Kesemua pesrta juga amat meminati bidang debat,” ujar Quurtubi.  


Pasukan debat tempat kedua, Srikandi Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).


Pasukan Kem Sungai Besi UPNM dibarisi Nur Insyirah Ab Rahman, Ahmad Qurtubi Awwabin Azman, Iman Irfan Othman dan Nur Suraya Zulkifli, sementara pasukan Srikandi KTDI UPM terdiri daripada Imaninah Mumtazah Abd Azazis, Nur Syazana Seruji, Siti Noralia Natasha Baharuddin dan Filda Mahashim

Bagi tempat ketiga terbaik diraih oleh pasukan Mahallah Sumayyah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan pasukan Lembah UPNM yang merupakan pasukan kedua UPNM. Kedua-dua pasukan setiap satu mendapat hadiah RM400, piala, dan sijil. 

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Abdullah Arshad, Timbalan Pendaftar Kanan, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM.  

Turut hadir ialah Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor, Pengetua Kolej Tiga Belas selaku Penaung merangkap wakil penganjur utama iaitu Sekretariat Akademik dan Sahsiah, Majlis Perwakilan Kolej, Kolej Tiga Belas, UPM sesi 2021/2022. 



Sebanyak 14 pasukan dari institusi pengajian tinggi Malaysia telah menyertai program yang turut dijayakan dengan kerjasama pengurusan Kolej Tiga Belas (K13), Kelab Debat Bahasa Melayu UPM (KDBM Putra) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 

Pengarah DELIA 2022, Nur Amila Dini Ahmad Nizam berkata debat itu memberi ruang kepada mahasiswa untuk menyampaikan idea tentang isu-isu semasa dengan penuh penuh keyakinan.  

“Debat ini diharapkan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai bakat dalam bidang perdebatan, sifat daya saing serta berfikir pada tahap tertinggi,” katanya. - KitaReporters


10
15
0
15
0

Copy Link: