Ramadan Berkat! Warga emas disantuni! Mahasiswa UMT semai semangat kesukarelawanan dan nilai empati!
Published byKeberkatan bulan Ramadan yang sarat dengan nilai keinsafan dan kepedulian terus dizahirkan apabila sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turun padang menyantuni golongan warga emas menerusi penganjuran Program Santuni Warga Emas di sebuah rumah kebajikan orang tua, pusat jagaan warga emas Summer Eldercare, Kuala Terengganu pada 12 Mac 2026.

Program ini telah menghimpunkan seramai 20 orang mahasiswa UMT yang terdiri daripada ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2025/2026, Kelab Gabungan Sukarelawan Siswa, Kelab Sahabat Masjid dan Pembimbing Rakan Siswa.
Program ini digerakkan dengan sokongan Pusat Pembangunan dan Pemerkasaan Mahasiswa serta Pusat Kaunseling dan Kesejahteraan Mahasiswa, HEPA UMT, dengan tujuan menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa, di samping memupuk nilai empati, keprihatinan dan kasih sayang terhadap masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, para mahasiswa melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk sesi ramah mesra, gotong-royong, penyampaian sumbangan makanan kering bernilai RM500 serta majlis berbuka puasa bersama penghuni rumah kebajikan.
Kehadiran mahasiswa bukan sahaja menceriakan suasana, malah turut memberi ruang kepada warga emas untuk berkongsi pengalaman hidup dan kisah perjalanan usia mereka serta memberi nostalgia kepada mereka bagi merasai kemeriahan suasana berbuka puasa bersama anak-anak.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, program seumpama ini merupakan antara platform penting dalam usaha universiti membentuk mahasiswa yang seimbang dari aspek intelektual, sahsiah dan kemanusiaan.
Menurut beliau, penglibatan aktif mahasiswa dalam program khidmat komuniti mampu memperkukuh jati diri serta memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda.
“Bulan Ramadan adalah medan terbaik untuk menyemai nilai keinsanan dan memperkukuh hubungan sesama manusia.
"Program seperti ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat secara langsung, sekali gus menanam rasa empati serta kesedaran terhadap keperluan golongan yang memerlukan perhatian dan kasih sayang,” katanya.
Tambah beliau, universiti sentiasa komited dalam memperkasa penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan dan khidmat masyarakat sebagai sebahagian daripada usaha melahirkan graduan yang holistik, berintegriti serta mempunyai kepekaan sosial yang tinggi.

Inisiatif ini juga mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi bukan sahaja sebagai pusat kecemerlangan ilmu, malah sebagai ejen perubahan sosial yang sentiasa dekat dengan masyarakat.
Program Santuni Warga Emas ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kemasyarakatan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti setempat dalam menyemarakkan semangat kebersamaan serta nilai kemanusiaan yang menjadi teras keharmonian masyarakat. - KitaReporters/Kenyataan Media
