Prof. Mazliham (tengah) menyampaikan sumbangan kepada seorang pelajar, Mysara Abdul Malek.


Bagi meringankan beban golongan memerlukan, Universiti Multimedia (MMU) meneruskan tradisi memberi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik melalui Program Bantuan Disbursemen Hari Raya Aidilfitri 2024, baru-baru ini.

Dalam program hasil inisiatif badan kebajikan universiti, Yayasan Universiti Multimedia (YUM) itu, sejumlah RM256,000 bantuan kewangan telah disalurkan kepada 481 anggota masyarakat daripada kumpulan B40 di Selangor dan Melaka.

Para penerima bantuan adalah pelajar dan kakitangan MMU, serta penduduk setempat dalam dua majlis Iftar Perdana 2024 pada 26 Mac 2024 di kampus Cyberjaya dan 27 Mac 2024 di kampus Melaka. 

Setiap penerima telah menerima duit Raya berjumlah RM500 hingga RM1,500 yang diserahkan oleh Presiden MMU Prof Dato’ Dr Mazliham Mohd Su’ud.

Prof. Mazliham menyatakan, sumbangan ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan para penerima bagi membuat persiapan menyambut Aidilfitri. 

“Pada kala MMU sentiasa komited dalam membentuk masyarakat melalui inovasi, kami juga berazam untuk menyokong komuniti sekitar dan mengangkat semangat mereka pada musim perayaan ini," katanya.



Seorang penerima, Muhammad Wazir Ngadilan, 40, pekerja am dari Kampung Olak Lempit, mengucapkan terima kasih atas bantuan yang diterima buat kali ketiga daripada MMU. 

"Saya amat berterima kasih kepada YUM dan MMU atas sumbangan ini," katanya yang masih bujang. Dia bercadang untuk menyerahkan separuh daripada RM500 kepada keluarganya untuk persediaan 1 Syawal.



Penerima lain, Rosizati Amirah Rosli, 31, menyatakan rasa syukur dan gembira kerana menerima wang bantuan itu buat pertama kali.

"Saya pada mulanya terkejut bila diberitahu akan mendapat bantuan ini kerana saya baru bekerja di sini selama tiga bulan," katanya. 

Rosizati merancang untuk menggunakan bantuan tersebut untuk membiayai perbelanjaan perjalanan pulang ke Kelantan.



Turut menyatakan terima kasih kepada MMU ialah pelajar tahun terakhir, Aiman Hakimie Mohd. Sani, 24, dari Ipoh, yang menyifatkan sumbangan tersebut dapat menceriakan lagi sambutan hari raya keluarganya. 

"Bantuan kewangan ini pasti akan meringankan beban keluarga untuk membuat persiapan Aidilfitri. Saya merancang untuk membeli pakaian baru menggunakan duit raya ini," katanya.



Bantuan hari raya itu diperolehi daripada dana zakat, yang telah dikumpulkan oleh YUM sebagai salah satu amil (pemungut zakat) untuk Lembaga Zakat Selangor (LZS). 

Majlis berbuka puasa Iftar Perdana itu dianjurkan dengan Kerjasama Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia cawangan MMU, Pengurusan Modal Insan MMU, Surau Al-Hidayah Cyberjaya, dan Masjid Al-Irshad Melaka. - KitaReporters/MMU

18
12
0
6
0

Copy Link: