Aduan Rakyat| Ada yang tak tenang di Tenang! Kompleks Institusi Pendidikan jadi monumen kegagalan?

Published by
KitaReporters

Hari demi hari, bulan berganti bulan dan tahun bertukar tahun, namun Kompleks Institusi Pendidikan Tenang  di Jalan Tenang, Labis, Johor terus kekal sebagai struktur sunyi yang seolah-olah dilupakan kewujudannya.


 

Pemandangan salah satu blok bangunan Kompleks Institusi Pendidikan Tenang di Labis, Johor  yang ditumbuhi semak samun bagai berada di tengah hutan belantara akibat terbiar telalu lama.


Lebih 15 tahun berlalu sejak ia terbiar, dan sehingga kini tiada sebarang tanda jelas bahawa bangunan tersebut akan kembali berfungsi seperti yang dirancang.

Kompleks yang siap dibina sekitar tahun 2008 itu pada asalnya diperuntukkan sebagai kuarters kakitangan pendidikan dengan lima blok bangunan empat tingkat yang menempatkan 40 unit kediaman serta kemudahan lain seperti surau dan taman permainan yang sepatutnya menjadi simbol komitmen terhadap kebajikan golongan pendidik di Labis. 

Namun realitinya jauh tersasar apabila kemudahan tersebut hanya sempat dihuni dalam tempoh yang singkat sebelum ditinggalkan begitu sahaja.

Sejak itu, bangunan berkenaan bukan sahaja kosong, malah perlahan-lahan berubah menjadi monumen kegagalan perancangan.

Kabel elektrik di kotak suis agihan utama mengalami kerosakan teruk kerana  menjadi sasaran pencuri.  


Pembalut kabel elektrik yang ditinggalkan penceroboh selepas mengambil wayar untuk dijual sebagai barangan lusuh.


Tinjauan di lokasi mendapati hampir keseluruhan unit kediaman mengalami kerosakan yang serius,
jeriji besi dan pintu rumah telah ditanggalkan, dipercayai dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa sebarang halangan.

Lebih membimbangkan, sistem pendawaian elektrik turut menjadi sasaran apabila kabel di papan agihan serta suis utama didapati hilang membuktikan situasi ini bukan sekadar vandalisme biasa, tetapi menunjukkan ketiadaan kawalan keselamatan yang berterusan dalam tempoh yang panjang.

Bingkai tingkap dan pelbagai komponen logam lain turut lesap, dipercayai dijual sebagai barangan lusuh dan kerosakan demi kerosakan yang berlaku memperlihat bahawa kompleks ini telah lama ‘dibuka’ kepada sesiapa sahaja tanpa sebarang  pengawasan.

Lebih menyedihkan, perabot di setiap unit kediaman juga tidak terkecuali daripada dimusnahkan atau dicuri, kaca tingkap yang bertaburan di dalam rumah menjadi bukti jelas bahawa proses kerosakan ini berlaku secara berperingkat-peringkat dan berulang kali.

Penemuan puntung rokok yang masih baharu pula memberi gambaran kawasan ini terus diceroboh sehingga ke hari ini.

Persoalannya, di manakah pemantauan selama ini?

Kerosakan teruk di salah satu blok bangunan yang menempatkan lapan unit kediaman di Kompleks Institusi Pendidikan Tenang di Labis, Johor.


Keadaan surau yang telah dicuri bingkai pintu dan tingkap oleh penceroboh.


Sebagai pemilik, Kementerian Pendidikan tidak boleh terus berdiam diri seolah-olah isu ini tidak wujud.

Lebih sukar diterima, lokasi kompleks ini bukanlah di kawasan terpencil yang jauh dari perhatian, malah terletak berhampiran SMK Kamarul Ariffin serta laluan utama ke Pekan Ayer Panas, menjadikannya mudah dilihat oleh orang ramai setiap hari.

Keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kegagalan bertindak berpunca daripada kelemahan pengurusan atau sekadar sikap tidak ambil peduli.

Bagi penduduk setempat, kewujudan bangunan terbiar ini bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah menimbulkan rasa kecewa yang berpanjangan.

Harapan untuk melihat kemudahan tersebut dimanfaatkan semakin pudar, diganti dengan rasa jengkel terhadap sikap sambil lewa pihak berkaitan.

Besi jeriji pintu dan tingkap yang telah ditanggalkan dari tempat asalnya antara barangan yang menjadi sasaran pencuri. 

Lebih membimbangkan, kawasan ini berpotensi menjadi lokasi kegiatan tidak bermoral sekiranya terus dibiarkan tanpa tindakan.

Dalam masa sama, pelaburan jutaan ringgit wang rakyat kini seolah-olah tidak membawa sebarang nilai dan persoalan yang lebih besar timbul, adakah projek ini dilaksanakan tanpa perancangan jangka panjang yang teliti?

Jika benar, maka kompleks ini bukan sekadar bangunan terbiar, tetapi bukti kelemahan dalam tadbir urus.

Fenomena “projek gajah putih” bukanlah sesuatu yang baharu, namun kegagalan untuk belajar daripada kesilapan lalu adalah sesuatu yang lebih membimbangkan.

Penulis percaya situasi seperti ini tidak hanya berlaku di Labis, tetapi mungkin turut berlaku di banyak kawasan lain, khususnya di kawasan pinggir bandar lain.

Jika perkara ini dibiarkan, ia mencerminkan satu budaya pengurusan aset yang tidak mampan.

Sehubungan itu, sudah tiba masanya pendekatan lebih tegas dan berani diambil. Kementerian Pendidikan perlu tampil dengan pelan tindakan yang jelas, bukan sekadar penjelasan umum yang tidak memberi kesan.


Akibat terbiar terlalu lama tumbuhan membesar sehingga hampir menutupi sebahagian daripada salah satu unit kediaman di Kompleks Institusi Pendidikan Tenang di Labis, Johor.


Antara langkah yang boleh dipertimbang ialah memulihkan semula kompleks ini atau membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk menggunakannya secara terkawal.

Langkah sedemikian bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran, malah mengembalikan nilai kepada pelaburan yang telah dibuat.

Dalam masa sama, keutamaan wajar diberikan kepada penyelesaian isu nyata seperti ini berbanding memperkenal dasar yang kurang menyentuh keperluan asas.

Akhirnya, persoalan sebenar bukan lagi tentang apa yang telah berlaku, tetapi siapa yang berani mengambil tanggungjawab untuk memperbetulnya.

Kerana jika tiada tindakan diambil, Kompleks Institut Pendidikan Tenang di Labis ini akan terus berdiri bukan sebagai kemudahan, tetapi sebagai lambang kepada kegagalan dan kelemahan dalam tadbir urus aset kerajaan. - KitaReporters

Sampai bilakah Kompleks Institusi Pendidikan Tenang di Labis, Johor ini akan dibiarkan menjadi monumen kegagalan tadbir urus aset kerajaan yang membazirkan wang rakyat. 

13
11
0
9
0

Copy Link: