Oleh SITI HAJAR MAT ISA


KONVENSYEN Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) berlangsung selama dua hari bermula 25 dan 26 Oktober 2021 melakar sejarah tersendiri setelah diadakan secara maya menerusi Cisco Webex dengan menyaksikan 24 pasukan berentap.

Perasmiannya disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UUM yang menjalankan fungsi Naib Canselor iaitu Prof  Dr Haim Hilman Abdullah.

Horizon Baharu KIK merupakan peralihan dari KIK kepada Pembudayaan dan Pemerkasaan Inovasi dalam Sektor Awam Melalui Horizon Baharu KIK.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UUM


Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan  dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UUM sedang berucap semasa Majlis Perasmian Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UUM 2021.


Menurut Dr Haim Hilman, pelaksanaan konvensyen secara maya itu bertujuan untuk memperkasa pembangunan diri staf, membentuk peserta menjadi lebih aktif, kreatif dan berinovatif serta punyai sosial yang sihat.

“Sebelum ini, KIK menumpukan kepada aspek proses penghasilan projek namun Horizon Baharu KIK ini memfokuskan kepada ‘outcome’, impak serta potensi pengembangan projek bagi tujuan replikasi, pengkomersialan mahupun penyertaan dalam pertandingan inovasi.

“Tahniah dan syabas kepada semua pasukan yang menyahut cabaran untuk bertanding pada Konvensyen KIK pada kali ini meskipun diadakan secara maya,” katanya.


Prof. Dr. Sany Sanuri Mohd. Mokhtar, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) sedang berucap semasa Majlis Penutup Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UUM 2021


Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Kualiti (IPQ), Prof Dr Sany Sanuri Mohd Mokhtar berkata, inovasi adalah sangat penting kepada sektor awam kerana ia dapat memberi hasil yang baik kepada organisasi dan pelanggan menggunakan perkhidmatan.

Katanya, pada peringkat dunia, Malaysia berada di ranking ke-33 dalam inovasi dan Switzerland berada di kedudukan pertama dalam ranking dunia.

“Bagi menjadi negara yang maju, inovasi sangat penting khususnya dalam memberi impak kepada pengurusan yang cekap dan berkesan,” ujarnya.


Sesi Q&A Kumpulan LARVICIDE BOMBERS dari Kolej Matrikulasi, Gopeng Perak bersama Panel Penilai yang memenangi Naib Johan bagi Kategori Bidang Inovasi Sosial dan Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik Bidang Inovasi Sosial.


Sesi Q&A  Kumpulan Vibrant dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) UUM bersama Panel Penilai dari Intan Wilayah Utara (INTURA) dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah.


Untuk info, Horizon Baharu KIK 2021 anjuran IPQ merupakan platform kepada staf UUM dan organisasi luar untuk mengutarakan idea dan inovasi mereka dalam pertandingan tersebut.

Sebanyak 24 pasukan berentap merebut anugerah dalam Konvensyen Horizon Baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) UUM 2021 yang julung kalinya dianjurkan oleh IPQ secara atas talian.

Sebanyak 15 kumpulan dari Pusat Tanggungjawab dan Pusat Pengajian UUM mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut, manakala 9 kumpulan lagi daripada organisasi luar.


Kumpulan TEAM MR POSITIF dari Penjara Dusun Dato’ Murad, Melaka memenangi Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik Bidang Inovasi Penyampaian Perkhidmatan.


Kumpulan Op_por dari Penjara Penor, Kuantan, Pahang merangkul Anugerah Persembahan Terbaik.


Bagi kategori Inovasi Penyampaian Perkhidmatan, gelaran johan dirangkul kumpulan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) manakala naib johan milik kumpulan D’Baca dari Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah,

Manakala, bagi kategori Inovasi Sosial, Kumpulan i-LIBs dari Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah muncul juara dan kumpulan Larvicide Bombers dari Kolej Matrikulasi Gopeng Perak selaku naib juara.

Anugerah Tambahan iaitu Anugerah Visual Terbaik dimenangi Kumpulan Panthera dari Pusat Sukan UUM; Anugerah Persembahan Terbaik oleh kumpulan Op_por dari Penjara Penor, Kuantan, Pahang.

Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik Inovasi Penyampaian Perkhidmatan dimenangi kumpulan Mr Positif dari Penjara Dusun Dato’ Murad, Melaka manakala Anugerah Kreativiti dan Inovasi Terbaik Inovasi Sosial dimenangi Larvicide Bombers dari Kolej Matrikulasi Perak. KitaReporters


Teks dan gambar oleh Siti Hajar Mat Isa, Pegawai Penyelidik Sosial, Institut Pengurusan Kualiti (IPQ) UUM.

 

14
14
0
10
0

Copy Link: