Dalam usaha untuk memartabatkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat daripada pelbagai lapisan komuniti termasuklah komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, bersempena sambutan Hari OKU Sedunia yang disambut pada 3 Disember saban tahun, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang diterajui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) telah mengadakan Majlis Penyerahan Buku Kompas 114 Versi Braille dan Pelancaran Buku Matan Al- Syatibiy Versi Braille untuk memberi manfaat kepada golongan ini supaya tidak keciciran dalam apa jua bidang terutama bidang ilmiah.



Buku Kompas 114 ini adalah sebuah buku separa ilmiah yang bertujuan menjadi pembimbing buat pembaca al-Quran dalam kembara penghayatan dan tadabbur kalamullah yang agung. 

Buku ini diserahkan kepada 10 wakil terpilih antaranya Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS), Yayasan Orang Buta Malaysia (YOBM), PIBG Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak, Al-Fitrah Foundation, KL Braille dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Profesor. Dr. Adnan Mohamed Yusoff Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapannya berharap agar program berkenaan dijalankan secara lebih meluas dan penerbitan buku sebegini lebih banyak diterbitkan bagi memastikan budaya ilmu terus berkembang luas sejajar dengan usaha menjadikan USIM sebagai Pusat Rujukan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli pada peringkat serantau dan global. 

“Saya juga mengharapkan agar keakraban yang terjalin sepanjang program ini dapat menjadi medan perbincangan dan perkongsian ilmu serta idea dalam usaha untuk menambah baik prestasi dan kebolehan para mahasiswa dan mahasiswi pada masa akan datang,” ujarnya lagi.



Sementara itu, Dr. Mohd Nur Adzam Rasdi, penyelaras projek berkata, usaha mentranskripsi buku ini telah dimulakan sejak akhir tahun 2021 lagi, dan sebanyak 5 jilid diterbitkan dengan jumlah 914 muka surat keseluruhannya.

“Usaha penterjemahan ini telah dibantu oleh para pelajar kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah dan turut mendapat kerjasama daripada syarikat Iltizam Braille yang diterajui Ustaz Sumairi Zainol.”

“Semoga buku ini dapat dimanfaatkan oleh komuniti OKU Penglihatan khususnya dan aktiviti mentranskripsi buku-buku ilmiah ke dalam versi Braille akan lebih meriah dan aktif dari semasa ke semasa demi pembangunan modal insan yang seimbang bagi komuniti OKU dan menjadi pencetus kepada kelahiran para pentadabbur al-Quran bukan sekadar dalam lingkungan individu tipikal tetapi juga dalam kalangan insan-insan instimewa,” ujar Dr. Adzam.

Pada program tersebut turut diadakan sesi bedah buku Kompas 114 oleh Ustaz Syaari Ab Rahman. - KitaReporters/USIM


 

9
13
0
6
0

Copy Link: