Serangan bertubi-tubi daripada aparteid Zionis Israel terhadap bumi Palestin sejak peristiwa 7 Oktober 2023 membuatkan umat Islam di seluruh dunia berhimpun dan menyatakan sokongan untuk membela nasib rakyat Palestin. 

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga turut sama mengadakan beberapa siri solidariti bagi menyatakan sokongan terhadap pembebasan dan kemerdekaan Negara Palestin. 

Antara inisiatif solidariti pertama yang dibuat oleh USIM adalah dengan melancarkan Tabung USIM Prihatin Palestin pada 13 Oktober 2023. 



Pada 6 Disember 2023, USIM meneruskan kempen solidariti dengan menganjurkan program ’USIM Berzikir untuk Palestin’ yang diadakan dengan hasrat untuk menyeru warga USIM dan masyarakat Muslim sekitar untuk bersama-sama menyatakan dan mengukuhkan solidariti terhadap Palestin dengan pelbagai pengisian antaranya, solat hajat, bacaan Doa Qunut Nazilah serta zikir munajat. 

Lebih bermakna, semua pelajar dan kakitangan warganegara Palestin yang berada di USIM turut dijemput bagi merasai kebersamaan warga USIM bersama dengan rakyat Palestin selain berkongsi pengalaman, perkembangan terkini di tanah air Palestin dan nasihat yang boleh dikongsikan kepada warga USIM khasnya, dan kepada masyarakat sekitar umumnya.



Naib Canselor, Profesor Dato' Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani dalam ucapannya berkata, sebagai tanda sokongan dan cakna kepada warga Palestin, satu pertemuan antara Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) USIM dengan warga Palestin USIM telah diadakan pada 23 November 2023. 

Pengurusan USIM juga bersetuju agar pelajar Palestin di USIM yang terkesan dengan peperangan ini diberikan kadar yuran pengajian tempatan, penangguhan khas pengajian bagi pelajar siswazah selain kutipan berjumlah RM33,210.47 yang dikumpul melalui Kempen #USIMPrihatin Palestin yang telah dilancarkan pada bulan Oktober 2023 yang lepas diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di atas sumbangan kemanusiaan.



Lebih 1,000 orang pelajar termasuk wakil jemputan daripada 15 surau komuniti setempat hadir ke program USIM Berzikir ini yang turut dihadiri pengurusan universiti yang dijalankan dengan lancar dan aman tanpa sebarang unsur politik mahupun provokasi. - KitaReporters/USIM


19
10
0
12
0

Copy Link: