Sentuhan Kasih Ramadan! Semangat kebersamaan antara UiTM dan Surau Al-Ansor Shah Alam! Rai anak yatim!
Published bySemangat kebersamaan antara universiti dan komuniti terus dizahirkan apabila Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan program Sentuhan Kasih Ramadan UiTM bersama Surau Al-Ansor, Seksyen 2 Shah Alam, yang menyaksikan seramai 32 anak yatim dan penjaga daripada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Ulin Nuha, Klang menerima sumbangan dalam suasana penuh kemesraan dan keberkatan.
Program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu menghimpunkan warga universiti, komuniti setempat, wakil industri, alumni serta sukarelawan pelajar UiTM dalam pelbagai pengisian bermakna sepanjang bulan Ramadan.
Antara pengisian utama program termasuk tradisi rewang bubur lambuk secara gotong-royong, pemeriksaan mata percuma oleh Fakulti Sains Kesihatan UiTM, sesi perkongsian ilmu Ramadan oleh Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), sesi perkongsian ilmu kesihatan daripada Fakulti Perubatan, serta sesi perkongsian industri dan alumni bersama komuniti yang disampaikan oleh Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM.
Program ini turut dijayakan melalui kerjasama beberapa pihak di UiTM termasuk Pejabat Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni) UiTM dan Pejabat Komunikasi Strategik UiTM, yang memainkan peranan dalam menyelaras pelaksanaan program bersama komuniti setempat.
Mohd Najwan Halimi (tiga dari kanan) bersama Ts. Dr. Shahrin Sahib (empat dari kanan) dan Zakaria Yusof (dua dari kanan) memberikan sumbangan kepada golongan yang diraikan.
Dalam majlis tersebut, seramai 27 anak yatim dan lima penjaga menerima sumbangan duit raya dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM6,720.
Daripada jumlah itu, RM1,600 disumbangkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Bahagian Zakat, Wakaf dan Sedekah UiTM, manakala RM5,120 lagi disumbangkan oleh Syrna Setara Resources Sdn. Bhd.
Penyumbang utama daripada pihak industri ialah Ts. Azhar Jemani, Pengarah Urusan Syrna Setara Resources Sdn. Bhd, yang juga merupakan alumni UiTM dan CEO@Faculty, yang menyalurkan sumbangan tersebut kepada para penerima pada tahun ini.
Beliau diwakili Mohd Iqbal Hanif Muhamed Rusdi dalam majlis tersebut.
Melalui sumbangan berkenaan, setiap penerima menerima sebanyak RM210 seorang, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada golongan yang diraikan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Turut hadir memeriahkan program ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin; serta Pengerusi Surau Al-Ansor Seksyen 2 Shah Alam, Dato’ Pahlawan Zakaria Yusof, bersama barisan pengurusan kanan universiti, wakil industri serta komuniti setempat.
Menurut Ts. Dr. Shahrin, program tersebut mencerminkan komitmen UiTM dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, komuniti, industri dan alumni melalui aktiviti kemasyarakatan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Program Sentuhan Kasih Ramadan ini bukan sekadar mengimarahkan bulan Ramadan, tetapi menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah antara universiti, komuniti, industri dan alumni.
"UiTM percaya bahawa universiti bukan sahaja berperanan sebagai pusat ilmu, malah turut bertanggungjawab menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui inisiatif kebajikan dan khidmat komuniti seperti ini,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa kerjasama strategik antara UiTM, komuniti setempat serta rakan industri membolehkan lebih banyak program kemasyarakatan dilaksanakan pada masa hadapan.
“Sokongan daripada rakan industri, alumni dan komuniti amat penting dalam memastikan usaha sebegini dapat diteruskan secara berterusan.
"UiTM amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya lagi.
Program tersebut turut melibatkan 16 sukarelawan pelajar UiTM yang membantu menjayakan aktiviti termasuk penyediaan bubur lambuk secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk sekitar Shah Alam.
Program diakhiri dengan majlis berbuka puasa bersama komuniti, solat maghrib dan tarawih berjemaah serta moreh, sekali gus mengimarahkan suasana Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim antara warga universiti dan masyarakat setempat.
Melalui inisiatif seperti ini, UiTM berharap hubungan erat antara universiti, komuniti, industri dan alumni akan terus diperkukuh serta membuka ruang kepada lebih banyak program kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat pada masa hadapan. - KitaReporters/Kenyataan Media
Naib Canselor UiTM bersama petugas dan sukarelawan bergambar kenangan sebelum majlis bermula.
