“SYUKUR atas sumbangan (RM31,000) ini. Sedikit sebanyak mampu memberi kelegaan buat kami sekeluarga setelah kehilangan anak tersayang. Dia anak harapan kami untuk bantu keluarga, apakan daya, Tuhan lebih menyayanginya,” kata Nordin Mohamad, bapa kepada Allahyarham Mohamad Amir Nordin, Pelajar Tahun 3 Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran)

Sumbangan itu ialah menerusi khairat kematian dan skim Perlindungan Insurans Keluarga Berkelompok Pelajar UMT berjumlah RM11,000 di samping Baucar Perlindungan Tenang (PTV) sebanyak RM20,000.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UMT

Nordin Mohamad (empat dari kiri) menerima sumbangan daripada Dr Mazlan Abd Ghaffar.

Nordin yang juga kakitangan kilang papan di Gua Musang,Kelantan, berkata, arwah anaknya Mohamad Amir terlibat dalam kemalangan pada 6 Mac 2022 lalu sewaktu melakukan kerja sampingan sebagai penghantar pesanan makanan bagi menampung perbelanjaan harian.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Datuk  Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pihaknya sentiasa mengutamakan kebajikan pelajar terutama golongan asnaf dan B40.

“Alhamdulillah, pelajar-pelajar UMT yang berkelayakan daripada golongan B40 dan golongan asnaf telah didaftarkan untuk program ini, termasuklah Allahyarham Mohamad Amir.

Oleh itu, katanya, waris Allahyarham layak mendapat manfaat kematian sebanyak RM20,000 daripada Program Baucar Perlindungan Tenang yang dikendalikan oleh Hong Leong MISG Takaful

“Kehilangan anak merupakan suatu ujian berat kepada waris ditambah pula anak tersebut merupakan orang harapan untuk mengubah nasib keluarga. Takziah sekali lagi daripada kami di UMT,” katanya ketika menyampaikan bayaran sumbangan kepada bapa pelajar malang terbabit.

Tambah Mazlan, pihaknya juga menyediakan bayaran khairat kematian bernilai RM1,000 serta Skim Perlindungan Insurans Keluarga Berkelompok Pelajar Prasiswazah sebanyak RM10,000 kepada waris Allahyarham.


DR Mazlan berucap ketika sesi majlis sumbangan skim Baucar Perlindungan Tenang


Bayaran pampasan tersebut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong MSIG Takaful, Mohd Asri Omar kepada waris.

Program Baucar Perlindungan Tenang yang dilancarkan pada September tahun 2021 merupakan inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk memperluaskan perlindungan sosial kepada golongan berpendapatan rendah dan ditawarkan kepada yang layak melalui Hong Leong MSIG Takaful yang bertindak sebagai pengendali takaful yang dilantik oleh pihak kerajaan bagi Program Baucar Perlindungan Tenang.

Ketika ini, seramai 3,465 pelajar UMT menyertai skim Baucar Perlindungan Tenang atau Perlindungan Tenang Voucher (PTV) Takaful Tenang sejak ia diperkenalkan pada 2021. - KitaReporters


15
17
2
15
0

Copy Link: